Friday, 5 October 2012

Education: Finnish Lessons

Ever wondered how Finland managed to build its highly regarded school system?

Get the insights and facts you'll need to contribute to building an effective, lower cost educational system at the local, national and global level.

Pasi Sahlberg recounts the history of Finnish educational reform as only a well-traveled insider can.  He details how the Finnish strategy and tactics differ from those of the global educational reform movement and of the North American reforms in particular.

Finnish Lessons goes beyond the facts and figures of Finnish education.

 The book also addresses the role of teachers as well as the links between education reform and other sectors of society, and how smart education policies serve to raise a nation's prosperity and reduce poverty.

Rather than proposing that other nations follow in Finland's path, Finnish Lessons documents how Finland achieved success without going through the arduous and controversial process of implementing competition, school choice, and test-based accountability.

Here parents, educators and policy architects can gain the insight and facts necessary to constructively participate in improving their schools -- even in a tightening economy.

This book is also a message of hope and encouragement for other nations to find their own way to enact educational reform that works.


"The story of Finland's extraordinary educational reforms is one that should inform policymakers and educators around the world.  This book is a must read." 

 — Linda Darling-Hammond, Charles E. Ducommun Professor of Education and Co-Director of the Stanford Center for Opportunity Policy in Education at Stanford University.


 Reference : http://www.finnishlessons.com/

Saturday, 11 August 2012

Guru Sebagai Intelektual Awam


Kita berada dalam kalut dunia globalisasi dan kebanjiran informasi.  Sementara kita pula semakin keliru dalam memahami perbezaan antara maklumat dan ilmu. Nyata dalam ledakan maklumat ia tidak semestinya memberi ilmu. Maklumat yang melimpah belum tentu mengilmukan manusia. Kerana Ilmu  itu sifatnya menundukkan nurani manusia menjadi insan baik. Insan yang menyedari diri sebagai hamba Allah.

Sebahagian menyatakan, hasil pendidikan (di sekolah-universiti) semacam tidak lagi memberi kesedaran keinsanan kepada manusia. Semacam wujud penyakit baru yang terbentuk dari rempuhan globasisasi dan ledakan maklumat. Penyakit individualistik atau mementingkan diri sendiri. 

Disaat inilah, menjadi sang guru merupakan amanah yang cukup berat.  Seperti kata syair Ahmad Syauqi,  sang guru hampir menjadi Rasul utusan. Amanah kepada sang guru sebagai agen pembebasan dan pencerahan daripada kegelapan kepada kecerahan (cahaya keimanan, keinsanan, kemanusiaan).

Ya! Mendidik adalah tugas asasi para Rasul seperti disebut oleh sepotong hadith; "Sesungguhnya di utuskanku untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia". Allah mendidik Rasulullah SAW untuk menjadi pendidik agung. Sebagaimana hadis  ' My Lord educated (Addaba) me, and made my education (Ta'dib) most excellent"-Prophet SAW. Allah mendidik (addaba) Rasulullah SAW dengan wahyu agung dan menjadikan baginda manusia terbaik dalam mendidik.

Sang guru jika disedari mempunyai peranan yang teramat rapat dengan tugasan Rasul utusan.  Membangun pandangan hidup manusia yang berasaskan ketauhidan. Mengakui ke Esa-an Allah. Oleh itu tugas tersebut perlu diisi dengan meyampaikan tugas risalah nubuwwah dalam lingkungan kemampuan.

Menyampaikan tugas risalah memerlukan kemampuan aqal yang cerdas. Kemampuan menganalisis dan berfikir. Memikirkan permasalahan umat dan mencari solusi. Kekuatan aqal manusia diangkat martabatnya oleh Islam sehingga di nukilkan pertanyaan-pertanyaan dalam banyak ayat al-Quran seperti 'ulul-albab, qaumi yatafakkarun, qaumi ya'qilun dan lain-lain.

Guru tidak boleh dipisahkan dari tradisi berfikir. Tradisi aqliah, penyuburan serta pensegaran pemikiran atau intelektualisme. Salah satu peranan guru sebagai golongan terpelajar ialah berfikir dan menjadi intelektual sedar. Sang guru yang celik.

Syed Hussein al-Attas menyatakan “ Intelektual adalah orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akaliahnya..pengetahuan tentang sesuatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual walau hal ini seringkali berdampingan;banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya."

Antara karya yang pernah saya baca di perpustakaan universiti suatu ketika dahulu ialah idea intelektual Edward Sa'id dalam bukunya,  Representation of the Intelectual, katanya seorang intelektual adalah “pencipta sebuah bahasa yang mengatakan kebenaran kepada yang berkuasa”.

Edwad Said ada memetik pandangan Antonio Gramsci dalam Prison Note Book yang menyifatkan semua orang adalah intelektual, tetapi tidak semua memainkan fungsi sebagai intelektual. Beliau memasukkan sang guru sebagai intelektual tradisi yang mengulangi kerja yang sama dari generasi ke generasi iaitu mendidik.

Saya usai membaca buku Minda Tertawan, Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa karangan Raja Ahmad Aminullah. Di dalamnya terdapat satu komen buat sang guru. Katanya ‘kalau pada tahun-tahun 1950-an, 60-an dan 70-an, guru-guru dianggap sebagai paksi atau tunggak pada masyarakat setempat, bermula pada tahun-tahun 1980-an dan terutamanya 1990-an, profesi dalam bidang pendidikan tidak lagi dianggap sebagai suatu kerjaya terhormat mala che’gu atau guru dianggap tidak sepenting jurujual, peniaga, orang korporat, ahli politik atau pun lain-lain seumpamanya. Apabila guru-guru tidak lagi dianggap tokoh panutan dalam masyarakat setempat, secara automatis, ilmu juga tidak lagi menjadi wahana penting untuk pembangunan masyarakat."

Seorang intelektual pendidikan sekaligus pengkaji teori pedagogi kritis, Dr Henry Giroux dalam makalahnya bertajuk 'Teachers as Transformative Intellectual' menyatakan bahawa 'seruan untuk melaksanakan perubahan dalam pendidikan masa kini memaparkan cabaran dan ancaman kepada guru-guru di sekolah awam. Ancaman itu datang dalam sebuah bentuk reformasi pendidikan yang melahirkan ketidakyakinan terhadap kemampuan guru-guru sekolah awam untuk menyediakan model kepimpinan intelektual dan moral kepada generasi muda kita".

Syed Hussein al-Attas dalam Intelektual Masyarakat Membangun menyatakan bahawa beliau pernah melontarkan idea tentang peranan guru sebagai penggerak intelektual di Kongres Pertama Porfesyen Guru Seluruh Malaysia 1966. Beliau menganjurkan bahawa profesion guru haruslah merupakan inti bagi masyarakat intelektual.

Begitulah beberapa kritikan dan saranan tentang peranan guru sebagai intelektual. Ketika masharakat  berdepan dengan cabaran pemikiran, budaya popular, kekeliruan ilmu dan berbagai penyakit moral-sosial, kita wajar memikirkan kembali upaya dan peranan guru. 

Peranan mereka bukan sebagai pengajar atau mahir mengajar subjek akademik dan melalukan perkara rutin harian sekolah semata-mata. Tetapi lebih besar daripada itu, seperti dibicarakan oleh Henry Giroux, Raja Ahmad Aminullah diatas, mereka perlu mampu menjadi qudwah-contoh kepimpinan agama-moral dan intelektual kepada pelajar dan masyarakat. 

Selain itu, guru juga perlu menghidupkan pedagogi kritis dalam mendidik. Menghidupakan budaya berfikir kritis kepada pelajar menerusi dialog dan perbicangan. Menjadi kritis kepada kezaliman dan ketidakadilan serta mendokong tinggi perjuangan menuntut kebenaran.

Dalam perbincangan lain, Dr. Ali Syariati pula membawa idea rausyanfikir dengan menyatakan seorang cendekiawan atau golongan terpelajar perlu terjun ke medan masyarakat mencerah dan menyatakan kebenaran. Kebenaran hakikat manusia itu bertuhan. Bertauhidkan Allah. Sang guru dekat dengan gagasan ini.

Manakala Mohammd Natsir pula menjelaskan betapa pentingnya sang guru dan umat Islam menghidupkan tradisi berfikir untuk melahirkan generasi  ulul albab. Nyata menjadi ulul albab adalah antara hala tuju pendidikan. Surah al-Imran ayat 191, menyifatkan ulul-albab sebagai mereka yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk atau berbaring, berfikir tentang penciptaan alam seraya menyatakan kebesaran Allah. 

Oleh itu,  peranan sang guru sebagai intelektual awam wajar dihidupkan. Untuk menghidupkan peranan tersebut ianya perlunya dirangka kedalam sistem pendidikan semasa menerusi polisi dan penekananan daripada pentadbiran diperingkat atas disamping kesedaran guru diperingkat bawah.

Sang guru sebagai ulul-albab mesti memainkan peranan sebagai penyampai risalah dalam lingkungannya, mencerah dan mengembalikan generasi kepada kesedaran bertuhan, 'God conscious'.

Peranan guru sangat besar dalam memikirkan masalah-masalah pendidikan dalam lingkungan masing-masing dan mencari penyelesaian.

Peranan sang guru sebagai pendidik perlu menyatakan kebersamaan dalam setiap masalah ummat dan menyampaikan kebenaran sama ada dalam lingkungan sekolah-murid, masyarakat dan Negara.

Peranan sang guru tidak hanya terikat kepada sang pemerintah dan melakukan perkara rutin sebagai pengajar akademik semata-mata, bahkan mereka perlu berani untuk menyampaikan wacana kebenaran kepada sang penguasa dan sesiapa sahaja demi sebuah keyaqinan terhadap kebenaran.

Memahami peranan sebagai pendidik Muslim-Mukmin dalam konsep 5M: Murabbi-Mu'allim-Muaddib-Mudarris-Mursyid. Tentulah bebanannya cukup berat menanti untuk diletakkan diatas bahu guru. Jika kita, sang guru benar-benar berperanan, kita mungkin mempunyai harapan untuk melihat kembali 'al-mustaqbal li haza ad-din' (masa depan Islam) yang cerah seperti dinuqilkan Syeb Qutb. Tidak di zaman kita, Insha-Allah di zaman anak cucu nanti.

______________________________________________________________________


Rujukan: 

Syed Hussein al-Attas. Intelektual Masyarakat Membangun. Dewan Bahasa Dan Pustaka
Raja Ahmad Aminullah.  Minda Tertawan, Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa 
Gamal Nasir. Mohammad Natsir Pendidik Ummah.
Hamidah Qutb. Menjadi Guru Yang Disayangi 
Edward Sa'id. Representations of the Intellectual
Dr Henry Giroux. Teachers as Transformative Intellectual


Wan Ahmad Fathi Wan Hassan
Educationist
Bachelor Education (Accountancy)

Monday, 30 July 2012

Ghayyir Nafsak: Ubahlah Dirimu


Malam 10 Ramadan bersamaan 29 Julai. Hari saya dilahirkan. Saya asyik menelaah karya terkenal Amru Khalid, 'Hatta Yughayyiru ma bi Anfusihim'. Sungguh, sesuatu yang paling sukar untuk dilakukan pada setiap tingkat umur yang dilalui adalah menyahut seruan 'Hatta Yughayyiru ma bi Anfusihim' -sehingga kita merubah sifat-sifat negatif pada diri.


'Self correction' adalah satu-satunya jalan keluar dari belenggu kelemahan dan kejahilan diri. Jalan keluar menuju hayatan tayyibah. Hidup penuh idealisme, aktif dan berkualiti berteraskan iman dan amal soleh. Berubah. Itulah seruan ayat al-Quran yang terkenal dan selalu disebut-sebut. Ayat ini memberi maksud yang cukup mendalam:


"Sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri" (Ar-Ra'd:11).


Seruan ayat ini tidak mengecualikan sesiapa, sama ada dirimu seorang Muslim atau Non-Muslim. Sama ada kita seorang yang banyak melakukan dosa atau seorang yang taat. Asalkan mahu menyahut seruan ayat ini-berubah, kita akan mendapat kejayaan dari perubahan itu. Syaratnya hanyalah satu, UBAHLAH DIRIMU. Sesiapa yang berubah, maka dia akan mendapat habuan dari kehidupan yang diimpikan.

Sifat 'taghyiriah' atau perubahan itu adalah kesediaan untuk diubah dan berubah untuk mengubah. Diubah pandangan alam kehidupan, berubah nilai, adab dan cara hidup, mengubah nasib diri dan nasib umat.

Satu-satunya jalan keluar dari kelemahan, dosa, kemalasan dan kejahilan ialah 'ghayyir nafsak'. Ubahlah dirimu. Islah (perbaiki) diri. Isilah dengan sebagala kebaikan, positif dalam setiap langkah kehidupan.

Berubah! Bukan mudah. Semuanya perlu bermula dari pedalaman diri. Bermula dari lubuk hati yang paling dalam. Ubahlah jiwa, hati dan perbuatanmu. Sucikan jiwamu, tazkiyah an-nafs. Itu satu-satunya jalan yang ada untuk menuju kehidupan yang mulia dan bahagia.

Begitulah hukum tabi'i perubahan. Dirimu berubah terlebih dahulu, maka kamu akan bangkit meraih mimpi. Jalan menuju perubahan sangat jauh dan panjang. Bukan saja jauh dan panjang bahkan penuh dugaan.

Namun, apa kan daya, itulah satu-satu jalannya. Yang kita ada hanya berusaha. Berusaha serta wajib memulakannya.
 _________________________________________________________________________


'Amru Khalid (2008). Hatta Yughayyiru Ma Bianfusihim.

Monday, 4 June 2012

Mengenali Gerakan Gulen

Fethullah Gulen merupakan seorang ilmuan, cendekiawan, intelektual, ulama  yang dilahirkan di bumi Uthmaniyah Turki. Beliau merupakan tokoh Islam aliran sederhana yang begitu dikenali dan dibahas pemikirannya secara meluas, baik dalam kalangan umat Islam mahu pun bukan Islam. Baik ditimur mahupun dibarat. 

Majalah Foreign Policy pernah meletakkan beliau ditempat pertama dalam kalangan 100 intelektual awam paling dikenali dunia, mendahului Syeikh Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi yang diletakkan ditempat ketiga.

Beliau telah menginspirasikan sebuah gerakan yang selalu disebut sebagai Gerakan Gulen atau Hizmet Movement. Gerakan yang membawa idea Islam sebagai agama universal. Menghidupkan nilai toleransi, dialog, kebajikan, kesukarelawan sosial dan pendidikan. 

Gerakan beliau telah digerakkan secara tersusun oleh ramai intelektual, mahasiswa universiti dan juga ahli-ahli perniagaan serta masyarakat awam diseluruh dunia. 

Memberi fokus pembangunan intelektual masyarakat menerusi gerakan masyarakat madani untuk memperkukuhkan rakyat dengan nilai-nilai murni dan kesedaran diri yang tinggi terhadap perjuangan demi mencipta tamadaun dunia yang aman dan sejahtera.

Aliran pemikiran Fethullah Gulen kurang popular di Malaysia-agaknya. Mungkin kerana pendirian beliau yang agak 'apolitical', jarang menjadi bualan masyarakat yang saban hari bergelut dengan ranjau politik-isu. Menjarakkan diri daripada terlibat dalam pertarungan politik kepartian dan pertembungan ideologi berparti.

Beliau menyatakanIslam  tak perlu dilihat sebagai sebuah ideologi politik kepartian semata-mata. Bahkan ianya perlu dilihat secara menyeluruh iaitu sebagai penyelamat kepada sekelian manusia.  Islam membawa misi kemanusiaan. Dengan menjadikan Islam sebagai ideologi politik, maka Islam tak lihat dari kaca mata sebenar.

Cendekiawan di Barat melihat beliau sebagai seorang 'moderate' Islam. Islam yang sederhana ( ikut definisi mereka). Fethullah Gulen telah menginspirasikan sebuah gerakan yang dikenali Gulen Movement.

Beliau dilahirkan di Turki pada 1941 dan menjadi imam, penceramah, guru, penyair dan tokoh terkenal di Turki antara 1970-1980. Kemudian berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1999.

Aliran sederhana yang dibawa daripada tradisi Islam Uthmaniyah dalam gerakan Gulen menjadikan gerakannya sebagai jambatan yang menghubungkan antara Islam dan barat.

Fethullah Gulen mendapat pendidikan awal di sebuah kampung di Turki dan mendapat didikan dan idea pemikiran dari seorang tokoh dakwah-pendidikan terkenal Syeikh Bediuzzaman Said Nursi. Melibatkan diri dalam usrah Nursi (Nursi reading circle) dengan mempelajari ilmu-ilmu asas Islam (Islamic sciences) tanpa memencilkan diri dengan ilmu moden-sains dll.

Ibunya pernah mengajar al-Quran secara sembunyi-sembunyi diera pemerintahan Ataturk-Kemalist government. Era pengharaman pendidikan Islam kepada masyarakat umum.

Pemikiran sufi beliau di inspirasi oleh guru-gurunya seperti Sheikh Muhammad Lutfi Efendi. Permulaan kefahaman beliau tentang aliran sederhana-Islam tatkala membaca tulisan Said Nursi yang mendidik Muslim supaya tak menolak 'modernity' tetapi mencari sumber inspirasi dari teks suci agama untuk memandu kehidupan moden.

Beliau telah berjaya menghidupkan kembali jiwa kesufian-tazkiyah an-nafs, sesuai dengan kehidupan zaman moden. Tasawuf disisi beliau tidak lagi kelihatan kaku dan mematikan semangat perjuangan aktivisme untuk mewujudkan tamadun dunia yang sejahtera.

Beberapa idea utama yang di promosikan oleh Fethullah Gulen:

1. Membina jambatan menghubungkan antara Islam dan Barat
2. Gerakan pendidikan
3. Gerakan sosial kebajikan, memberi dana kepada projek sukarela (memperkukuhkan masyarakat   
     madani) atas roh memberi dan berkhidmat.
4. Dialog antara budaya dan agama.
5. Islam bukan teroris atau pengganas
6. Hubungan antara negera dengan agama.

Gerakan Gulen merupakan gerakan sivil-masyarakat madani yang tidak didanai oleh kerajaan atau mana-mana pemerintah. Ianya tak dipengaruhi oleh pemerintah mahupun ideologi-ideologi politik. Gerakan ini memberi kesedaran sosial, intelektual, kesederhanaan Islam dan pendidikan.

Fokus gerkan ini secara keseluruhannya memberi penekanan kepada perubahan individu dan pendidikan individu. Meningkatkan kesedaran kerohanian dan keintelektualan individu dengan mengukuhkan keupayaan dalaman yang akan menguatkan diri untuk menggerakkan perubahan dalam masyarakat.

Gerakan Gulen adalah gerakan yang memberi kesedaran keimanan, non-political, kebudayaan, dan gerakan pendidikan yang menyediakan peluang kepada generasi muda Muslim di Turki untuk kembali kepada Islam.

Tidak hairan jika gerakan ini telah berjaya menubuhkan beberapa buah universiti , hospital dan lebih 1000 buah sekolah diseluruh dunia serta menjadi 'international movement' yang memanfaatkan sepenuhnya globalisasi untuk membawa misi tamadun yang sejahtera kepada dunia. 

Fethullah Gulen juga disebut secara tak langsung mempunyai hubungan dan pengaruh dalam politik di Turki , khususnya hubungan dan pengaruhnya dalam parti pemerintah AK Party. Mungkin kejayaan kerajaan AKP pimpinan Recep Tayyib Erdogan mentadbir Turki selama ini turut disumbang oleh gerakan yang mempunyai jutaan keahlian ini.



Wan Ahmad Fathi Wan Hassan
_____________________________

Rujukan: Helen Rose Ebaugh (2010). The Gulen Movement, A Sociological Analysis of a Civic Movement Rooted in Moderate Islam. USA. Springer.

Thursday, 10 May 2012

Rihlah Guru Baharu

Semua graduan pendidikan yang lulus temuduga, kini sedang menanti panggilan (ada yang telah terima) untuk ditempatkan ke sekolah. Debarannya mungkin lebih kuat berbanding menunggu keputusan kelayakan ke universiti. Bahkan, mungkin lebih besar dari debaran mendapat keputusan temuduga sebelum ini.

Mungkin, jika diberi pilihan, ramai akan memilih negeri asal atau tempat yang sesuai dengan tujuan dan keperluan hidup untuk ditempatkan. Tetapi apa kan daya, kita tak punya kuasa dalam menentukan.

Bagi sesetengah daripada kita, haqiqat tempat 'posting' ini begitu berat sekali. Berat dengan perasaan serba salah. Serba salah kerana berbagai pertimbangan. Pertimbangan keluarga, rumah tangga, melanjutkan pengajian, budaya berbeza, cabaran-cabaran dan sebagainya.

Sama ada ditempatkan ke semenanjung-pedalaman, ke kota, Sabah, Sarawak atau kemana jua, masing-masing ada cabaran tersendiri. Ia bergantung kepada sejauh mana kita bersedia membentuk persepsi positif. Berusaha dengan positif untuk melahirkan hasil yang menggembirakan. Ya! Gembira walau dimana jua ditempatkan.

Guru dan Niat

Niat menentukan seluruh amal. Ia menentukan sama ada amal diterima atau ditolak oleh Allah. Para ‘ulama sentiasa meletakkan pesanan 'niat yang ikhlas' diawal penulisan sesuatu karya. Imam an-Nawawi dalam al-Azkar menyebut hal ini. Begitu juga dalam susunan 'matan arba`in' (Hadith 40), beliau meletakkan hadith niat ditempat yang pertama. Melambangkan betapa pentingnya niat.

Untuk meletakkan persepsi positif dalam mengurus fikiran tentang penempatan, kita mesti meletakkan niat yang betul. Ketika ditanya kenapakah kamu memilih guru sebagai profesyen, sebahagian daripada guru (luar negara) menyatakan seperti berikut: 

“How nice to describe teaching as a way by which we can help people. The feeling of being needed to help adds great pleasure and happiness to the teachers”-Soher Ahmad.  

‘I love teaching. It is an honorable profession. Helping others know things they don't know gives sense of achievement and then sense to life. I feel active. I feel I am a good citizen- Hicham Astaifi 

“Personally, I've decided to be a teacher because I believe only education can help us to construct a better world and a better future- Chris Lima 

 ‘I like teaching. Being a teacher, I myself always feel young because I always face the youth.’ – Guru China

Manakala seorang Pengetua Cemerlang dari SMKA Syeikh Abdul Malik, bergred Jusa C, Hajjah Khuzaimah Sulaiman pula memesan ‘menjadi guru bukan semata-mata untuk mendapat gaji. Cara bekerja  seorang guru yang tiada matlamat akan jauh berbeza jika dibandingkan dengan guru bermatlamat melahirkan modal insan yang berguna kepada agama,bangsa dan negara'.

Saya membawa contoh golongan Sufasta`iyyah atau Sofis. Golongan yang juga dikenali sebagai  cerdik pandai  dizaman Athens (hidup sezaman dengan ahli falsafah Socrates). Sofis mengganggap pengetahuan mereka amat berharga dan mereka mesti diberi upah atau gaji apabila memberi ilmu.  Selain itu, golongan ini amat berbangga dengan ilmunya dan menanggap semua perkara mereka tahu.

Golongan ini bertentangan dengan Socrates. Socrates pula mengkritik mereka sebagai golongan yang berkepentingan diri. Manakala, Socrates seorang ahli falsafah agung yang hanya mengajar secara percuma di bandar dan begitu merendah diri dengan ilmu yang dimiliki. Beliau menganggap dirinya tak tahu. Katanya “saya hanya tahu satu perkara  saja, iaitu saya tidak tahu apa-apa pun."

Kita boleh memilih sama ada ingin menjadi golongan Sofis yang mengajar kerana gaji dan kepentingan diri semata-mata  tanpa mahu mendidik dengan sebenar atau ingin megambil pengajaran dari Socrates yang tampak lebih ikhlas. Terpulang.

Seperti pandangan-pandangan diatas, apabila ditanya mengapakah memilih guru sebagai profesyen, tentu jawapannya berbeza-beza mengikut persepsi, kefahaman dan penghayatan kita terhadap profesyen perguruan itu sendiri. Namun, sewajarnya kita meletakkan niat yang ikhlas kerana Allah dan berusaha kearah keikhlasan.

Bagaimana pun, Imam al-Ghazali menyatakan ‘sesiapa sahaja bekerja sebagai guru maka ia  memegang peranan yang besar dan penting. Oleh sebab itu, hendaklah kamu memelihara perangai dan fungsinya'. Demikian nukilan al-Ghazali akan perihal adab menjadi guru dalam kitab terkenalnya Ihya` `Ulumuddin dan Bidayatul Hidayah.

Bagi guru yang telah ditarbiyah dalam sebuah nizom harakah (sistem gerakan), sudah pasti niatnya telah jelas. Namun, ianya perlu sentiasa dimuhasabah.

Rihlah Guru Baru 

Rihlah merupakan perkataan `Arab yang bermaksud kembara atau mengembara. Dalam Bahasa Inggeris ia dipanggil 'travel'. Dalam lipatan sejarah Islam, rihlah untuk mencari dan mengajarkan ilmu merupakan tradisi silam para ilmuan Islam. Tradisi untuk menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia ini diwarisi sehingga ke hari ini.

Sebenarnya, penghantaran para `ulama untuk bertugas sebagai pendidik telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW. Baginda menghantar Mus'ab Umair ke Yathrib (Madinah) untuk mengajar al-Quran, begitu juga Muaz diarahkan tinggal ditempat yang ditakluki sepelas peperangan untuk terus mendidik. Umar al-Khattab, menghantar Abdullah bin Mas`ud ke Kufah dan Abu Musa Asya`ari ke Basrah. (Hassan Langgulung)

Mereka berihlah meninggalkan kampung halaman untuk mendidik. Roh rihlah ini telah dihidupkan oleh umat Islam. Ibnu Battuta antara tokoh Muslim yang terkenal dalam rihlah beliau. Rihlah mencari dan mengajarkan ilmu. Beliau mencatat dalam kitabnya, catatan pengembaraan Ibnu Battutah yang akhirnya menjadi sumber sejarah dan ilmu penting tentang pelayaran.

Menurut seorang pengkaji akademik berbangsa Inggeris, David Tittensor Al-Quran mengandungi beberapa ayat yang memesan para pembacanya untuk 'travel the earth and see' (mengembara dan lihatlah isi dunia) dan secara khusus, al-Quran mengunakan istilah rihla dalam  Surah Quraysh (106:2), dengan merujuk kepada kapasiti suku kaum Quraisy yang mengembara ke utara dan selatan dan kejayaan yang diraih mereka.

Berihlah memerlukan pengorbanan. Pengorbanan meninggalkan kebiasaan dan keseronokan berada ditempat asal. Meninggalkan  keluarga dan isteri, anak dan bonda. Itulah hakikat sebuah kehidupan yang dilalui oleh para leluhur dizaman emas Islam dahulu.Saya cuba memahami dan menghayati roh ini.

Ibrah Gerakan Zaman Abbasiyah dan Hizmet Gulen

Antara zaman keemasan Islam yang sangat menekankan tentang pendidikan ialah diera Bani Abbasiyah. Ketika era ini, pendidikan Islam diatur secara tersusun oleh kerajaan Islam terutamanya oleh Sultan Nizam Al-Mulk, Sultan Salahuddin al-Ayyubi (membangun sekolah terawal di Mesir). 

Lebih kurang 100 tahun sebelum Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis, kebangkitan Islam secara tersusun telah diatur oleh Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan ulama-ulama lain menerusi pendidikan. Ketika itu, institusi pendidikan dan guru-guru `alim dilahirkan untuk mendidik masyarakat. 

Guru-guru, para ulama dihantar ke seluruh tempat untuk mendidik. Tidak kurang juga alumni (guru yang dilatih) dari pusat pengajian Nizam al-Mulk yang bertebaran keseluruh dunia menubuhkan institusi pendidikan Islam di era itu.

Hasilnya, 100 tahun kemudian, lahir ramai graduan-graduan dari pelbagai bidang, para pemikir, pentadbir, pegawai tentera, amilin dan termasuk Salahuddin al-Ayyubi, tokoh penting kebangkitan Islam dan pembukaan semula Masjid al-Aqsa. Graduan ini telah mengisi ruang-ruang kebangkitan.

Nyata, kejayaan Salahuddin bukanlah terletak pada dirinya semata-mata, namun ia hasil kekuatan sebuah generasi yang lahir (generasi:pemikir, tentera, pentadbir dll) daripada pendidikan yang diatur Imam al-Ghazali dan para ulama sejak 100 tahun sebelumnya. Generasi yang dijanjikan dan layak untuk mendapat kemenangan telah tersedia untuk melengkapkan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi.

Ibrahnya, kekuatan kebangkitan Islam diera itu kuat didokong oleh gerakan pendidikan. Mereka yang mengisi gerakan pendidikan-dakwah ketika itu adalah guru-guru yang bertebaran keseluruh negara Arab. Mereka benar-benar menghayati roh rihlah untuk mendidik dan berdakwah. 

Semua ini dijelaskan oleh ulama sejarah dan pendidikan, Dr Majid Irsan al-Kailani dalam kitabnya, Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya al-Aqsa Ke Pangkuan Islam'.

Sebagaimana para guru dari gerakan pendidikan zaman Abbasiyah, teradapat sebuah gerakan Islam semasa yang menumpukan kepada perihal yang sama iaitu pendidikan. Gerakan Hizmet Gulen. Sebuah gerakan yang diinspirasikan oleh tokoh agama dan intelektual, Fethullah Gulen (sebuah gerakan Islam asal Turki).

Gerakan ini menggerakkan ahlinya untuk mendirikan sekolah di seluruh dunia. Guru-guru mereka berhijrah dan sanggup berkorban dalam meneruskan tradisi rihlah ini.  Mereka juga menghayati roh Haji yang turut membawa falsafah mengembara di dunia sementara.

"Hari ini ramai para guru daripada gerakan Gülen mewarisi tradisi rihlah yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka, bergelut keluar ke negara lain atas nama Allah dan Nabi SAW untuk bertindak sebagai penyelamat kepada umat manusia. Bagi mereka itulah alternatif kepada Haji".-Fethullah Gulen.

Guru dari gerakan Gulen bukan saja sanggup mengajar dalam negara mereka (Turki) bahkan lebih daripada itu mereka sanggup ke negara lain, termasuk Pakistan,Kazakhstan, Senegal, Kyrgyzstan, Indonesia, Bosnia dan lain-lain demi mendidik dan membangun pendidikan. Malah ada yang berihlah ke Indonesia dan Malaysia mendidik di universiti-universiti. 

Realitinya, memang begitu sukar berada di tempat orang, namun itu tak menjadi halangan demi sebuah pendidikan. Inilah semangat rihlah yang ditunjukkan oleh pendidik dari gerakan ini lewat komentar-komentar yang diberikan dibawah;

"I mean, of course it was difficult. There was a different geography, a different education [system]…Especially, for example, we had to explain to them using a translator. Over there, there were also difficulties given one does not know the language… there was the adjustment to the environment, to the culture (Çetin, Turkish Literature Teacher, Tartarstan).

"Many teachers there couldn’t get any salary for months. We worked there for three hundred dollars [a month] at the time, and we couldn’t get the salaries in time after ten months or so (Anil, English Teacher, Kazakhstan & Kyrgyzstan).

Disebalik segala kesukaran dan pengorbanan , para guru gerakan Gulen secara umumnya begitu positif tentang keputusan mereka meninggalkan Turki yang secara relatifnya lebih selesa. Sebagai mana komen mereka secara berulang bahawa disebalik kesukaran selama 13 tahun mengembara, namun terselit pengalaman yang sangat manis dan berharga.

"Pengorbanan adalah sifat penting kepada seorang manusia yang mendidik orang lain. Mereka yang tidak mahu mengambil risiko pengorbanan daripada awal, bukanlah seseorang yang  mempunyai matlamat. Manusia yang tiada matlamat, tiada mungkin berjaya .  Ya! mereka yang bersedia dan sanggup untuk meninggalkan apa yang diperlukan - harta, hidup, keluarga, pangkat, kemasyhuran dan sebagainya, perkara yang diinginkan ramai manusia dan meletakkannya sebagai tujuan hidup. Mereka inilah (yang sanggup berkorban) yang mempunyai malamat dan pastinya mencapai ke puncak kejayaan."- Fethullah Gulen.

Tidak hairan, ramai penganalisis politik Turki mengatakan, disebalik kejayaan parti AKP pimpinan Recep Toyyib Erdogan dan Abdullah Gul. Dibelakangnya ada gerakan Hizmet Gulen yang mendokong, terutamanya bertindak secara tersusun dalam pendidikan untuk menyedarkan rakyat Turki yang tenggelam dalam sekularisme. Kini, Turki beransur-ansur menuju kebangkitan.

Kalam Akhir 

Walau pun kemana jua ditempatkan, bukanlah menjadi halangan besar bagi guru haraki jika roh rihlah ini dihayati. Untuk menghayati roh ini, tentunya memerlukan penghayatan Islam dan roh perjuangan yang tinggi bagi sang pendidik haraki.

Penghayatan Islam dan roh perjuangan yang tinggi membolehkan kita meyaqini posisi kita sebagai pendidik yang mempunyai peranan menyampaikan ajaran agama. Bahkan, jika lebih besar lagi, melibatkan diri dalam membangun institusi pendidikan beteraskan Islam walau dimana jua berada. Itulah sumber kekuatan rihlah yang sebenar.

Pemikiran inilah yang ingin diterapkan dalam aqal fikri yang ligat berfikir. Berfikir dan risau untuk ditempatkan ke seberang laut atau kemana jua tempat yang berat untuk disanggupi. Akhirnya, walau kemana jua aku ditempatkan, aku akan terus berihlah seperti Ibnu Battuta dan semoga terus jua istiqamah.

Wan Ahmad Fathi Wan Hassan
Educationist
Bachelor of Education (Accountancy),
Sultan Idris University of Education
______________________________________________________
Nota Kaki:

Imam An-Nawawi. Al-Azkar.

Prof Dr Hassan Langgulung (1986). Pengenalan Tamadun Islam Dalam Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khuzaimah Sulaiman (2009) Jejak Pengetua Super: Dari DG41 ke JUSA C.Digital Apprentice Sdn.Bhd.

David Tittesor , An Alternative Pilgrimage: Teachers Doing Hizmet Abroad. http://en.fgulen.com/conference-papers/323-gulen-conference-in-indonesia/3722-an-alternative-pilgrimage-teachers-doing-hizmet-abroad

Fethullah Gulen: On Education  Essay

Dr. Majid Irsan al-Kailani, Hakadha Zahara Jailu Salahu al-Din wa Hakadha `Adat al-Quds (terj.). International Institute of Islamic Thought Malaysia (IIIT).



Saturday, 5 May 2012

Garis besar isu penempatan guru baharu

Penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang ditunggu sejak hampir setahun lalu telah diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 27 April lalu (Sinar Harian,27 April 2012) . Rentetan itu, ramai graduan pendidikan berasa lega dan gembira dengan keputusan tersebut. Maka, segala kepahitan, kesengsaraan, kemarahan, dan rasa dianiaya oleh ketidakadilan sistem yang dilaksanakan sebelum ini telah terhapus, terpadam dan terkubur dari kamus fikir graduan.

Sebelum pengumuman bermakna itu, bangkit beberapa kumpulan pendesak supaya disegerakan penempatan. Sejak Jun 2011 sehinggalah ia diumumkan, pelbagai usaha dilakukan oleh graduan untuk mendesak dicepatkan penempatan. Maka, diadakan dialog dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), penghantaran memorandum tuntutan, berlaku unjuk rasa dan pidato isu ‘posting’ di UPSI, ribuan luahan dilontarkan di alam maya dan puluhan tuntutan dihantar ke media dan surat khabar. Tidak kurang juga ada graduan yang membawanya kepada ahli parlimen dan dibahaskan di Dewan Rakyat. Ada pula yang membuat kenyataan media bersama ahli parlimen oposisi. Nyata, itulah usaha-usaha desakan yang dibuat sehingga ianya menjadi pertimbangan dan diumumkan oleh Menteri Pelajaran.

Tidak hairan jika isu ini menjadi genting. Jika ingin dilihat dari dimensi teori keperluan Maslow, manusia memerlukan pekerjaan untuk mendapat wang, seterusnya menyara keperluan asasi hidup- fisiologi , makan minum dan tempat tinggal. Jika pula dilihat dari perspektif Islam, bekerja untuk mendapat sumber kewangan menyara hidup adalah wajib untuk menjaga dururiyyat al-khams (5 keperluan utama manusia yang wajib dilindungi-agama, aqal, harta, nyawa, maruah) dalam maqasid syariah (tujuan syariat diturunkan kepada manusia).

Guru merupakan jumlah penjawat awam terbesar di Negara ini, iaitu sekitar 460,000. Jumlah penjawat awam yang besar bukanlah suatu sistem yang terbaik bagi kerajaan kerana ianya meningkatkan perbelanjaan mengurus. Untuk menampungnya kerajaan perlu menambah peruntukan, mencari sumber pendapatan yang lebih, atau menaikkan cukai, mengurangkan subsidi dan menyusun keutamaan belanjawan. Disamping itu, kenaikan perbelanjaan mengurus bertambah parah apabila sesebuah kerajaan dihantui ketirisan, penyelewangan, rasuah dan lain-lain. Namun, secara hakikatnya, sektor pendidikan adalah nadi - pusat kepada pembangunan kebendaan dan kerohanian dalam memacu kemajuan seimbang bagi sesebuah  negara. Oleh yang demikian, amatlah wajar jika ia terus diutamakan.

Bersyukur dan Berterima Kasih, Sifat Murni

Menunggu selama hampir setahun itu tidak lagi menjadi isu penting setelah mendapat penempatan. Mengorbankan banyak perkara (dalam tempoh tak pasti-posting) yang datang melintas didepan mata tidak lagi menjadi rungutan. Kos masa, tekanan emosi-perasaan, menangguh pengajian sarjana, peluang kerjaya lain, menangguh perkahwinan, menolak lamaran dan segala macam persoalan mungkin dilalui oleh graduan disepanjang tempoh menunggu tanpa kepastian itu. Tetapi, semua itu telah terkubur setelah mendapat penempatan.

Begitulah ironinya sifat kita yang sentiasa bersyukur atas pemberian. Sifat memaafkan kecuaian sistem yang diuruskan oleh manusia. Setiap manusia ada kesilapan dan kecuaiannya. Sifat murni ini wajar dipertahankan. Namun, bagi yang memahami persoalan kehidupan ini dari dimensi yang lebih luas (bukan hanya hitam dan putih), mereka akan melihat disana terdapat ruang penambahbaikan. Sistem itu perlu ditambah baik. Agar ianya dapat berjalan kearah yang lebih baik.

Saya fikir, bagi graduan pendidikan yang mempelajari teori tingkat pemikiran Taksonomi Bloom, atau sisi pandang highest order thinking skills. Sewajarnya kita berfikir bukan saja ditahap ingat, tahu dan faham, tetapi mampu menganalisis, mensintesis seterusnya menilai segala permasalahan yang ada yang bersangkutan dengan pendidikan, diri , masyarakat dan Negara. Bukan hanya mencungkil masalah tetapi turut hormat-kritis terhadap sistem, berperanan sebagai penyemak dan pengimbang kepada sistem seterusnya melontarkan solusi.

Masalah Berulang

Kita mendengar sekolah terpaksa mengambil guru interim bagi menampung kekurangan guru. Kita mendengar persatuan ibu bapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) merungut dan marah akibat ketiadaan guru. Tetapi, dalam masa yang sama ribuan graduan pendidikan masih menganggur. Ini adalah masalah-masalah yang tidak terjawab apakah puncanya. Kita akan terus berandaian dan berteka-teki apakah puncanya selagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak menjelaskan punca-punca sebenar masalah ini.

Masalah pembekuan penempatan guru baharu ini sudah beberapa kali berulang. Pada tahun 2006, Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUPSI) mengemukakan usul kepada Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah pembekuan penempatan dan nasib yang menimpa mereka (Berita Harian. 2006). Mereka menyatakan usul meminta pihak kementerian mengkaji semula program KPLI bagi menyelesaikannya. Tentunya punca masalah diwaktu itu sedikit berbeza, namun masih wujud lingkaran masalah yang sama dan berulang.

Antara punca yang disebut Mohd Zainal Ariefin (2005) dalam tesis kajian peringkat sarjana pendidikan UKM adalah disebabkan oleh campur tangan politik, penempatan guru wanita dan lelaki tak seimbang, kegagalan menyiapkan sekolah baru mengikut tempoh ditetapkan dan salah padan opsyen. Semua ini menjadi punca yang menyukarkan proses penempatan guru baharu dilakukan mengikut tempoh sepatutnya.

Kita tak menafikan ada juga masalah yang cukup kompleks untuk diselesaikan termasuk berpunca dari guru sendiri. Namun disebalik semua masalah itu, mesti ada alternatif-alternatif penyelesaian. Perkara ini mesti dilihat dengan serius kerana kesan ketiadaan guru disekolah akan merencatkan perjalanan pendidikan. Menjadi mangsa adalah pelajar yang tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya diterima akibat ketiadaan guru.

Nisbah Guru Dan Murid

Pendidikan yang berkualiti memerlukan nisbah guru dan murid yang ideal. Nisbah guru dengan murid yang kecil membolehkan guru memberi perhatian yang lebih kepada murid. Perhatian yang lebih pula akan memberi kesan psikologi yang mendalam kepada pelajar, seterusnya guru mampu mendidik mereka mengikut acuan seimbang (rohani, intelektual, emosi, jasmani) . Dalam tradisi Islam, terdapat panduan dalam mendidik. Antara sistem yang digunakan dalam menyampaikan ilmu adalah ‘talaqqi’ (seorang guru dan seorang murid), halaqah (seorang guru dikelilingi murid sekitar 12 orang). Malahan, Universiti Oxford turut menceduk kaedah Islam ini kedalam sistem pendidikannya.

Zaman keemasan Islam seperti Abbasiyah, Andalusia dan lain-lain mengamalkan kaedah ini dan akhirnya mampu melahirkan ramai cendekiawan ulung dunia. Perhatian guru yang lebih kepada murid membolehkan proses pendidikan berjalan dengan baik, berkualiti dan mampu mencapai kesatu tahap yang lebih baik.

Realiti semasa menunjukkan, kita berada pada nisbah 1 guru dengan 35 murid (1:35) dan ada sesetengah sekolah 1:40. Nisbah ini masih boleh dikurangkan setidaknya kepada 1:20 secara keseluruhanya. Keadaan sekarang masih menyedihkan. Oleh itu, keperluan penambahan guru yang berkualiti untuk mencapai ratio yang ideal wajar diteruskan. Tambahan pula sekolah telah mula melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Untuk itu, pengambilan guru baharu juga wajar diteruskan mengikut kriteria kualiti yang digariskan.

Ekonomi dan Pendidikan

Perbelanjaan kerajaan yang terbesar adalah dalam bidang pendidikan. Keadaan ekonomi yang baik akan memungkinkan peruntukan mengurus sektor pendidikan meningkat. Namun sekiranya keadaan ekonomi merudum, maka peruntukan itu mungkin berkurangan. Selain itu, ia juga bersangkutan dengan pengurusan kewangan dan keutamaan belanjawan. Bila mana peruntukan pendidikan diagihkan kepada keutamaan lain seperti kenaikan gaji guru, imbuhan untuk pelajar RM 100 dan lain-lain, maka ianya turut memberi kesan kepada hal lain. Ekonomi juga memberi kesan kepada penempatan guru baru. Belanjawan dibuat setiap tahun. Dalam keadaan belanjawan negara yang defisit (kurangan atau hutang) sejak beberapa tahun kebelakangan, adakah wujud agihan belanjawan yang diberikan untuk ambilan penjawatan guru baru ?

Sekiranya punca kewangan menjadi sebab pembekuan ‘posting’, adalah wajar jika ada peruntukan khas untuk penjawatan guru baru dalam belanjawan pendidikan bagi mengelak masalah bersangkutan. Geran penjawatan perlu dikeluarkan selaras dengan jumlah graduan manakala belanjawan untuk penjawatan guru baharu juga wajar disediakan dan diutamakan. Namun, ini bergantung kepada kecekapan kerajaan yang memerintah menerusi pilihan rakyat mengurus keutamaan-keutamaan yang patut diberikan dalam perbelanjaan mengurus negara. Ambilan atau kemasukan guru baru dengan tingkat perbelanjaan mengurus wajar dinaikkan bagi mengelakkan pembekuan pengambilan akibat tiada sumber kewangan yang cukup.

Tidak dinafikan juga, faktor ekonomi akan turut bersangkutan dengan politik. Politik dan ekonomi. Ada pihak yang mendakwa bahawa keutamaan belanjawan yang sepatutnya diagihkan untuk penjawatan guru baru telah diubah untuk memberi imbuhan kepada setiap pelajar sekolah RM100 dan juga kenaikan gaji guru. Ini semua dibuat bagi menarik persepsi yang baik kepada kerajaan dan parti memerintah seterusnya mengukuhkan pengaruh parti dalam pilihan raya. Sejauh mana kesahihannya wajar difikirkan.

Pendidikan dan Politik

Menurut Ibrahim Saat (1986) pendidikan di Negara ini adalah bersifat politikal dan sentiasa digunakan sebagai alat politik golongan yang memerintah. Pendidikan dan polisi-polisi ditentukan oleh parlimen atau dibahaskan di Dewan Rakyat. Parlimen tentukan dasar dan yang terlibat dalam parlimen adalah ‘orang politik’. Menteri Pelajaran juga orang politik. Itu hakikat yang tak dapat dielakkan. Oleh sebab itu, tidak dapat tidak, ianya dipengaruhi oleh orang politik.


Sebagai contoh, perubahan dasar persaraan daripada umur 55 tahun kepada 58 dan kemudian berubah lagi kepada 60 tahun telah memberi kesan yang besar kepada pembekuan ambilan guru baharu. Unjuran kekosongan guru yang sepatutnya telah dianggarkan dengan baik telah berubah kepada tiada lagi kekosongan. Perubahan dasar persaraan ini semestinya dibahas didewan rakyat oleh 'orang politik' sebelum dilaksanakan. Kesannya terpaksa ditanggung oleh graduan pendidikan.

Campur tangan politik dalam pendidikan juga diakui oleh Bahagian Perancangan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM (BPPDP). Menurut kajian yang dilakukan oleh BPPDP (1998) `memang terdapat campur tangan dan penglibatan tokoh-tokoh politik dalam proses pelaksanaan penempatan guru-guru. Walaupun campur tangan itu dalam jumlah yang sangat kecil, tetapi ia sukar dielakkan kerana tokoh politik mempunyai kuasa dalam membuat dasar negara.’

Bagi mengurangkan kesan pertarungan politik dan hanya orang politik menjadi penentu dasar pendidikan, adalah wajar dibuka ruang awam bagi semua pihak yang layak-ahli falsafah Islam, agamawan, mahasiswa pendidikan, ahli akademik, NGO, parti oposisi dan jamak kaum turut terlibat dalam menentu dan membangunkan sistem pendidikan berasaskan perlembagaan Negara secara harmoni dan hormat-kritis.

Guru Sebagai Masyarakat Madani

Secara ringkas, masyarakat madani adalah masyarakat yang mendokong tinggi niali ilmu, berbudaya, maju dan setiap warganya tahu hak-hak dan kewajiban terhadap agama, kewajiban sesama manusia dan negara. Kunci kepada masyarakat madani adalah pendidikan. Mereka yang mengisi proses pendidikan pula adalah guru.


Saya berpandangan, menjadi satu kekangan besar bagi guru dalam mengembangkan kualiti diri apabila mereka menganggap diri semata-mata penjawat awam dalam sebuah kerajaan. Jiwa penjawat awam yang mesti patuh kepada arahan-arahan dan terikat dengan ikrar mungkin akan mematikan idealisme, kreativiti dan aktivisme. 

Guru perlu meluaskan ruang aqal fikri mereka dengan meletakkan diri diluar dimensi seorang penjawat awam semat-mata. Perlu punyai dimensi sebagai bahagian daripada masyarakat madani. Guru sebagai masyarakat madani (masyarakat awam) yang mempunyai ruang untuk beridealisme dan beraktivisme dalam ruang lingkup pendidikan yang akhirnya mampu membangun pendidikan yang berkualiti.  

Dalam menuntut penempatan, bakal guru juga sewajarnya memuhasabah diri. Dalam menyatakan perihal diatas, sewajarnya juga, kita menoleh kepada diri sendiri. Kualiti diri dan kesedaran diri pendidik dalam membangun pelajar berada ditahap mana. Kerana, pendidikan berbeza dengan pengajaran, ramai guru boleh mengajar tetapi terlalu sedikit mampu mendidik. Guru juga perlu memahami peranan mereka dalam membangun diri sendiri, pelajar dan masyarakat. Mereka perlu berfikir untuk mendidik dengan ikhlas. Bukan sekadar menjadi guru untuk menerima gaji sebagaimana golongan Sufastaiyyah yang keliru dizaman Athens dahulu. Memperdagangkan ilmu semata-mata untuk kepentingan diri.

Di Jepun, ada beberapa kesatuan guru yang terlibat dalam politik dan penentuan masa depan Negara. Jepun menyediakan ruang yang baik kepada guru berperanan sebagai masyarakat madani dalam pergolakan masyarakat dan penentuan dasar tanpa kekangan kerajaan. Mereka bersama menyumbang sebagai suara 'check and balance', semak dan imbang kepada sebuah kerajaan.


 Di Turki wujud sebuah gerakan masyarakat madani iaitu gerakan Hizmet Movement yang diinspirasi oleh seorang tokoh bernama Fethullah Gulen. Gerakan yang membangun idea kecintaan, toleransi, pemikiran,dialog dan pendidikan berkualiti. 

Penyediaan pendidikan berkualiti amat ditekankan oleh gerakan ini. Guru-guru yang mendidik disekolah Hizmet perlu memahami tanggungjawab sebagai masyarakat madani dan mereka mestilah berkualiti dari sudut intelek,emosi, sosial, agama dan mempunyai pengorbanan, kecintaan,berjiwa aktivis serta ada nilai-nilai murni sejagat dalam mendidik. Tidak hairan dengan kualiti guru yang ada, mereka berjaya membangun ribuan sekolah diseluruh dunia. Guru dinegara kita juga wajar mempunyai kesedaran untuk berperanan dengan ikhlas dalam membangun pendidikan dengan asas agama dan kualiti yang terbaik. 

Oleh itu, guru perlu diperkasakan dengan partisipasi mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat madani. Bersedia untuk beraktivisme dan beridealisme dengan landasan ilmu bagi memastikan terwujudnya sebuah masyarakat madani yang faham hak dan tanggungjawab kepada agama bangsa dan negara.

Kalam Akhir
 

Justeru, sesuai dengan peranan pendidikan sebagai nadi kehidupan. Maka, untuk menjadikannya benar-benar berperanan, amat perlu disediakan guru yang mencukupi dan berkualiti. Membiarkan graduan pendidikan menganggur terlalu lama dalam masa yang sama sekolah tidak mempunyai guru yang cukup adalah ancaman yang akan merendahkan kualiti pendidikan.

Kita berterima kasih dengan keputusan penempatan, namun bukan beerti tidak boleh mengkritik sedangkan masalah penempatan ini seringkali berulang. Dalam melihat isu ini, kita mesti melihat dari pelbagai sudut yang saling berkaitan, kesan politik, ekonomi, pengurusan dan tidak lupa kesediaan graduan sendiri menjadi pendidik yang berkualiti.

Kerajaan perlu memahami realiti masyarakat baru. Masyarakat baru iaitu generasi baru yang begitu kritikal terhadap masa depan mereka. Meraikan golongan muda menerusi dialog dan mendengar suara mereka merupakan salah satu tanggungjawab sebuah kerajaan yang `adil dan berkebajikan.

 Dalam kita gembira ketika mendapat penempatan, sewajarnya sikap kita hormat-kritis, menyatakan pandangan dan cadangan dalam ruangan yang ada. Agar ianya tak berulang kepada generasi baharu dibelakang. Tidak ada salahnya. Hakikatnya sistem pendidikan kita masih kuat dicengkam oleh untung rugi ‘orang politik’. Kita memerlukan perubahan sistem yang lebih baik dari peringkat atas sehinggalah kepada perlaksanaan dibawah. 

Partisipasi semua pihak yang layak dalam menentukan sistem pendidikan negara tanpa keperluan politik kepartian wajar diberikan. Tidak wajar dibiarkan pendidikan yang dibangunkan oleh pejuang yang ikhlas serta guru-guru yang ikhlas dirobohkan oleh pertarungan politik kepartian sempit. Kita wajar objektif dalam hal ini. Jika itu pun tak mampu mengubah, sebagai warga Negara yang merdeka, saya tak teragak-agak untuk menyatakan, kita wajar mencuba kerajaan baru yang lebih mendengar keperluan dan keinginan kearah pembaikan yang lebih baik.


Nampaknya, walau pun isu penempatan graduan pendidikan pada sesi kali ini (ambilan guru baharu Mei 2012) kelihatan telah selesai, namun isu ini dijangka akan berlarutan untuk generasi seterusnya. Generasi yang baru tamat pengajian. Bahkan mungkin berlarutan untuk tempoh 5 tahun ke hadapan. Dengan segala perkaitan dengan masalah ekonomi dan politik serta perubahan dasar, kemungkinan generasi baru graduan pendidikan terpaksa menunggu dan menganggur untuk suatu tempoh masa lebih dari setahun. Bersedialah untuk kemungkinan terpaksa mencari kerja lain tanpa mengharap ihsan sebuah kerjaaan.


Wan Ahmad Fathi Wan Hassan
Educationist

Bachelor of Education (Accountancy).