Kita berada dalam kalut dunia globalisasi dan kebanjiran
informasi. Sementara kita pula semakin keliru dalam memahami perbezaan antara maklumat
dan ilmu. Nyata dalam ledakan maklumat ia tidak semestinya memberi ilmu. Maklumat yang melimpah belum tentu mengilmukan manusia. Kerana Ilmu itu sifatnya menundukkan nurani manusia menjadi insan baik. Insan yang menyedari diri sebagai hamba Allah.
Sebahagian menyatakan, hasil pendidikan (di sekolah-universiti) semacam tidak lagi memberi kesedaran keinsanan kepada manusia. Semacam wujud penyakit baru yang terbentuk dari rempuhan globasisasi dan ledakan maklumat. Penyakit individualistik atau mementingkan diri sendiri.

Disaat inilah, menjadi sang guru merupakan
amanah yang cukup berat. Seperti kata syair Ahmad Syauqi, sang guru
hampir menjadi Rasul utusan. Amanah kepada sang guru sebagai agen pembebasan dan pencerahan daripada
kegelapan kepada kecerahan (cahaya keimanan, keinsanan, kemanusiaan).
Ya! Mendidik adalah tugas asasi para Rasul
seperti disebut oleh sepotong hadith; "Sesungguhnya di utuskanku untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia". Allah mendidik Rasulullah SAW untuk menjadi pendidik agung. Sebagaimana hadis ' My Lord educated (Addaba) me,
and made my education (Ta'dib) most excellent"-Prophet SAW. Allah
mendidik (addaba) Rasulullah SAW dengan wahyu agung dan menjadikan baginda
manusia terbaik dalam mendidik.
Sang guru jika disedari mempunyai peranan yang
teramat rapat dengan tugasan Rasul utusan. Membangun pandangan hidup manusia yang berasaskan ketauhidan. Mengakui ke Esa-an Allah. Oleh itu tugas tersebut perlu
diisi dengan meyampaikan tugas risalah nubuwwah dalam lingkungan kemampuan.
Menyampaikan tugas risalah memerlukan kemampuan
aqal yang cerdas. Kemampuan menganalisis dan berfikir. Memikirkan permasalahan
umat dan mencari solusi. Kekuatan aqal manusia diangkat martabatnya oleh Islam
sehingga di nukilkan pertanyaan-pertanyaan dalam banyak ayat al-Quran seperti 'ulul-albab, qaumi yatafakkarun,
qaumi ya'qilun dan lain-lain.
Guru tidak boleh dipisahkan dari tradisi
berfikir. Tradisi aqliah, penyuburan serta pensegaran pemikiran atau
intelektualisme. Salah satu peranan guru sebagai golongan terpelajar ialah
berfikir dan menjadi intelektual sedar. Sang guru yang celik.
Syed Hussein al-Attas menyatakan “
Intelektual adalah orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah
bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akaliahnya..pengetahuan tentang
sesuatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki gelar tertentu belumlah
membuat orang menjadi intelektual walau hal ini seringkali berdampingan;banyak
didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk
mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah
tertentu dalam bidangnya."
Antara karya yang pernah saya baca di perpustakaan universiti
suatu ketika dahulu ialah idea intelektual Edward Sa'id dalam bukunya, Representation of the
Intelectual, katanya seorang intelektual adalah “pencipta sebuah bahasa
yang mengatakan kebenaran kepada yang berkuasa”.
Edwad Said ada memetik pandangan Antonio
Gramsci dalam Prison Note Book yang menyifatkan semua orang adalah intelektual,
tetapi tidak semua memainkan fungsi sebagai intelektual. Beliau memasukkan sang
guru sebagai intelektual tradisi yang mengulangi kerja yang sama dari generasi
ke generasi iaitu mendidik.
Saya usai membaca buku Minda Tertawan,
Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa karangan Raja Ahmad Aminullah. Di dalamnya terdapat satu komen buat sang
guru. Katanya ‘kalau pada tahun-tahun 1950-an, 60-an dan 70-an,
guru-guru dianggap sebagai paksi atau tunggak pada masyarakat setempat, bermula
pada tahun-tahun 1980-an dan terutamanya 1990-an, profesi dalam bidang
pendidikan tidak lagi dianggap sebagai suatu kerjaya terhormat mala che’gu atau
guru dianggap tidak sepenting jurujual, peniaga, orang korporat, ahli politik
atau pun lain-lain seumpamanya. Apabila guru-guru tidak lagi dianggap tokoh
panutan dalam masyarakat setempat, secara automatis, ilmu juga tidak lagi
menjadi wahana penting untuk pembangunan masyarakat."
Seorang intelektual pendidikan sekaligus pengkaji teori pedagogi kritis, Dr Henry Giroux dalam makalahnya bertajuk 'Teachers as Transformative Intellectual' menyatakan bahawa 'seruan untuk melaksanakan perubahan dalam pendidikan masa kini memaparkan cabaran dan ancaman kepada guru-guru di sekolah awam. Ancaman itu datang dalam sebuah bentuk reformasi pendidikan yang melahirkan ketidakyakinan terhadap kemampuan guru-guru sekolah awam untuk menyediakan model kepimpinan intelektual dan moral kepada generasi muda kita".
Syed Hussein al-Attas dalam Intelektual Masyarakat Membangun
menyatakan bahawa beliau pernah melontarkan idea tentang peranan guru sebagai
penggerak intelektual di Kongres Pertama Porfesyen Guru Seluruh Malaysia 1966.
Beliau menganjurkan bahawa profesion guru haruslah merupakan inti bagi
masyarakat intelektual.
Begitulah beberapa kritikan dan saranan tentang peranan guru sebagai intelektual. Ketika masharakat berdepan dengan cabaran pemikiran, budaya popular, kekeliruan ilmu dan berbagai penyakit moral-sosial, kita wajar memikirkan kembali upaya dan peranan guru.
Peranan mereka bukan sebagai pengajar atau mahir mengajar subjek akademik dan melalukan perkara rutin harian sekolah semata-mata. Tetapi lebih besar daripada itu, seperti dibicarakan oleh Henry Giroux, Raja Ahmad Aminullah diatas, mereka perlu mampu menjadi qudwah-contoh kepimpinan agama-moral dan intelektual kepada pelajar dan masyarakat.
Selain itu, guru juga perlu menghidupkan pedagogi kritis dalam mendidik. Menghidupakan budaya berfikir kritis kepada pelajar menerusi dialog dan perbicangan. Menjadi kritis kepada kezaliman dan ketidakadilan serta mendokong tinggi perjuangan menuntut kebenaran.

Dalam perbincangan lain, Dr. Ali Syariati pula membawa idea rausyanfikir dengan menyatakan seorang cendekiawan atau golongan terpelajar perlu terjun ke medan masyarakat mencerah dan menyatakan kebenaran. Kebenaran hakikat manusia itu bertuhan. Bertauhidkan Allah. Sang guru dekat dengan gagasan ini.
Oleh itu, peranan sang guru sebagai intelektual awam wajar dihidupkan. Untuk menghidupkan peranan tersebut ianya perlunya dirangka kedalam sistem pendidikan semasa menerusi polisi dan penekananan daripada pentadbiran diperingkat atas disamping kesedaran guru diperingkat bawah.
Sang guru sebagai ulul-albab
mesti memainkan peranan sebagai penyampai risalah dalam lingkungannya, mencerah
dan mengembalikan generasi kepada kesedaran bertuhan, 'God conscious'.
Peranan guru sangat besar dalam memikirkan masalah-masalah pendidikan dalam lingkungan masing-masing dan mencari penyelesaian.
Peranan sang guru sebagai pendidik perlu menyatakan kebersamaan dalam setiap masalah ummat dan menyampaikan kebenaran sama ada dalam lingkungan sekolah-murid, masyarakat dan Negara.
Peranan sang guru tidak hanya terikat
kepada sang pemerintah dan melakukan perkara rutin sebagai pengajar akademik semata-mata, bahkan mereka perlu berani untuk menyampaikan wacana
kebenaran kepada sang penguasa dan sesiapa sahaja demi sebuah keyaqinan terhadap kebenaran.
Memahami peranan sebagai pendidik Muslim-Mukmin
dalam konsep 5M: Murabbi-Mu'allim-Muaddib-Mudarris-Mursyid. Tentulah bebanannya cukup berat menanti untuk diletakkan diatas bahu guru. Jika kita, sang guru benar-benar berperanan, kita mungkin mempunyai harapan untuk melihat kembali 'al-mustaqbal li haza ad-din' (masa depan Islam) yang cerah seperti dinuqilkan Syeb Qutb. Tidak di zaman kita, Insha-Allah di zaman anak cucu nanti.
______________________________________________________________________
Rujukan:
Syed Hussein al-Attas. Intelektual Masyarakat Membangun. Dewan Bahasa Dan Pustaka
Raja Ahmad Aminullah. Minda Tertawan, Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa
Gamal Nasir. Mohammad Natsir Pendidik Ummah.
Hamidah Qutb. Menjadi Guru Yang Disayangi
Edward Sa'id. Representations of the Intellectual
Dr Henry Giroux. Teachers as Transformative Intellectual
Wan Ahmad Fathi Wan Hassan
Educationist
Bachelor Education (Accountancy)

No comments:
Post a Comment