
Malam 10 Ramadan bersamaan 29 Julai. Hari saya dilahirkan. Saya asyik menelaah karya terkenal Amru Khalid, 'Hatta
Yughayyiru ma bi Anfusihim'. Sungguh, sesuatu yang paling sukar untuk
dilakukan pada setiap tingkat umur yang dilalui adalah menyahut seruan
'Hatta Yughayyiru ma bi Anfusihim' -sehingga kita merubah sifat-sifat
negatif pada diri.
'Self correction' adalah satu-satunya jalan keluar dari belenggu kelemahan dan kejahilan diri. Jalan keluar menuju hayatan tayyibah. Hidup penuh idealisme, aktif dan berkualiti berteraskan iman dan amal soleh. Berubah. Itulah seruan ayat al-Quran yang terkenal dan selalu disebut-sebut. Ayat ini memberi maksud yang cukup mendalam:
"Sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri" (Ar-Ra'd:11).
Seruan ayat ini tidak mengecualikan sesiapa, sama ada dirimu seorang Muslim atau Non-Muslim. Sama ada kita seorang yang banyak melakukan dosa atau seorang yang taat. Asalkan mahu menyahut seruan ayat ini-berubah, kita akan mendapat kejayaan dari perubahan itu. Syaratnya hanyalah satu, UBAHLAH DIRIMU. Sesiapa yang berubah, maka dia akan mendapat habuan dari kehidupan yang diimpikan.
Sifat 'taghyiriah' atau perubahan itu adalah kesediaan untuk diubah dan berubah untuk mengubah. Diubah pandangan alam kehidupan, berubah nilai, adab dan cara hidup, mengubah nasib diri dan nasib umat.
Satu-satunya jalan keluar dari kelemahan, dosa, kemalasan dan kejahilan ialah 'ghayyir nafsak'. Ubahlah dirimu. Islah (perbaiki) diri. Isilah dengan sebagala kebaikan, positif dalam setiap langkah kehidupan.
Berubah! Bukan mudah. Semuanya perlu bermula dari pedalaman diri. Bermula dari lubuk hati yang paling dalam. Ubahlah jiwa, hati dan perbuatanmu. Sucikan jiwamu, tazkiyah an-nafs. Itu satu-satunya jalan yang ada untuk menuju kehidupan yang mulia dan bahagia.
Begitulah hukum tabi'i perubahan. Dirimu berubah terlebih dahulu, maka kamu akan bangkit meraih mimpi. Jalan menuju perubahan sangat jauh dan panjang. Bukan saja jauh dan panjang bahkan penuh dugaan.
Namun, apa kan daya, itulah satu-satu jalannya. Yang kita ada hanya berusaha. Berusaha serta wajib memulakannya.
_________________________________________________________________________
'Amru Khalid (2008). Hatta Yughayyiru Ma Bianfusihim.
No comments:
Post a Comment