Monday, 4 June 2012

Mengenali Gerakan Gulen

Fethullah Gulen merupakan seorang ilmuan, cendekiawan, intelektual, ulama  yang dilahirkan di bumi Uthmaniyah Turki. Beliau merupakan tokoh Islam aliran sederhana yang begitu dikenali dan dibahas pemikirannya secara meluas, baik dalam kalangan umat Islam mahu pun bukan Islam. Baik ditimur mahupun dibarat. 

Majalah Foreign Policy pernah meletakkan beliau ditempat pertama dalam kalangan 100 intelektual awam paling dikenali dunia, mendahului Syeikh Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi yang diletakkan ditempat ketiga.

Beliau telah menginspirasikan sebuah gerakan yang selalu disebut sebagai Gerakan Gulen atau Hizmet Movement. Gerakan yang membawa idea Islam sebagai agama universal. Menghidupkan nilai toleransi, dialog, kebajikan, kesukarelawan sosial dan pendidikan. 

Gerakan beliau telah digerakkan secara tersusun oleh ramai intelektual, mahasiswa universiti dan juga ahli-ahli perniagaan serta masyarakat awam diseluruh dunia. 

Memberi fokus pembangunan intelektual masyarakat menerusi gerakan masyarakat madani untuk memperkukuhkan rakyat dengan nilai-nilai murni dan kesedaran diri yang tinggi terhadap perjuangan demi mencipta tamadaun dunia yang aman dan sejahtera.

Aliran pemikiran Fethullah Gulen kurang popular di Malaysia-agaknya. Mungkin kerana pendirian beliau yang agak 'apolitical', jarang menjadi bualan masyarakat yang saban hari bergelut dengan ranjau politik-isu. Menjarakkan diri daripada terlibat dalam pertarungan politik kepartian dan pertembungan ideologi berparti.

Beliau menyatakanIslam  tak perlu dilihat sebagai sebuah ideologi politik kepartian semata-mata. Bahkan ianya perlu dilihat secara menyeluruh iaitu sebagai penyelamat kepada sekelian manusia.  Islam membawa misi kemanusiaan. Dengan menjadikan Islam sebagai ideologi politik, maka Islam tak lihat dari kaca mata sebenar.

Cendekiawan di Barat melihat beliau sebagai seorang 'moderate' Islam. Islam yang sederhana ( ikut definisi mereka). Fethullah Gulen telah menginspirasikan sebuah gerakan yang dikenali Gulen Movement.

Beliau dilahirkan di Turki pada 1941 dan menjadi imam, penceramah, guru, penyair dan tokoh terkenal di Turki antara 1970-1980. Kemudian berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1999.

Aliran sederhana yang dibawa daripada tradisi Islam Uthmaniyah dalam gerakan Gulen menjadikan gerakannya sebagai jambatan yang menghubungkan antara Islam dan barat.

Fethullah Gulen mendapat pendidikan awal di sebuah kampung di Turki dan mendapat didikan dan idea pemikiran dari seorang tokoh dakwah-pendidikan terkenal Syeikh Bediuzzaman Said Nursi. Melibatkan diri dalam usrah Nursi (Nursi reading circle) dengan mempelajari ilmu-ilmu asas Islam (Islamic sciences) tanpa memencilkan diri dengan ilmu moden-sains dll.

Ibunya pernah mengajar al-Quran secara sembunyi-sembunyi diera pemerintahan Ataturk-Kemalist government. Era pengharaman pendidikan Islam kepada masyarakat umum.

Pemikiran sufi beliau di inspirasi oleh guru-gurunya seperti Sheikh Muhammad Lutfi Efendi. Permulaan kefahaman beliau tentang aliran sederhana-Islam tatkala membaca tulisan Said Nursi yang mendidik Muslim supaya tak menolak 'modernity' tetapi mencari sumber inspirasi dari teks suci agama untuk memandu kehidupan moden.

Beliau telah berjaya menghidupkan kembali jiwa kesufian-tazkiyah an-nafs, sesuai dengan kehidupan zaman moden. Tasawuf disisi beliau tidak lagi kelihatan kaku dan mematikan semangat perjuangan aktivisme untuk mewujudkan tamadun dunia yang sejahtera.

Beberapa idea utama yang di promosikan oleh Fethullah Gulen:

1. Membina jambatan menghubungkan antara Islam dan Barat
2. Gerakan pendidikan
3. Gerakan sosial kebajikan, memberi dana kepada projek sukarela (memperkukuhkan masyarakat   
     madani) atas roh memberi dan berkhidmat.
4. Dialog antara budaya dan agama.
5. Islam bukan teroris atau pengganas
6. Hubungan antara negera dengan agama.

Gerakan Gulen merupakan gerakan sivil-masyarakat madani yang tidak didanai oleh kerajaan atau mana-mana pemerintah. Ianya tak dipengaruhi oleh pemerintah mahupun ideologi-ideologi politik. Gerakan ini memberi kesedaran sosial, intelektual, kesederhanaan Islam dan pendidikan.

Fokus gerkan ini secara keseluruhannya memberi penekanan kepada perubahan individu dan pendidikan individu. Meningkatkan kesedaran kerohanian dan keintelektualan individu dengan mengukuhkan keupayaan dalaman yang akan menguatkan diri untuk menggerakkan perubahan dalam masyarakat.

Gerakan Gulen adalah gerakan yang memberi kesedaran keimanan, non-political, kebudayaan, dan gerakan pendidikan yang menyediakan peluang kepada generasi muda Muslim di Turki untuk kembali kepada Islam.

Tidak hairan jika gerakan ini telah berjaya menubuhkan beberapa buah universiti , hospital dan lebih 1000 buah sekolah diseluruh dunia serta menjadi 'international movement' yang memanfaatkan sepenuhnya globalisasi untuk membawa misi tamadun yang sejahtera kepada dunia. 

Fethullah Gulen juga disebut secara tak langsung mempunyai hubungan dan pengaruh dalam politik di Turki , khususnya hubungan dan pengaruhnya dalam parti pemerintah AK Party. Mungkin kejayaan kerajaan AKP pimpinan Recep Tayyib Erdogan mentadbir Turki selama ini turut disumbang oleh gerakan yang mempunyai jutaan keahlian ini.



Wan Ahmad Fathi Wan Hassan
_____________________________

Rujukan: Helen Rose Ebaugh (2010). The Gulen Movement, A Sociological Analysis of a Civic Movement Rooted in Moderate Islam. USA. Springer.

No comments:

Post a Comment