Semua graduan pendidikan yang
lulus temuduga, kini sedang menanti panggilan (ada yang telah terima) untuk
ditempatkan ke sekolah. Debarannya mungkin lebih kuat berbanding menunggu
keputusan kelayakan ke universiti. Bahkan, mungkin lebih besar dari debaran mendapat
keputusan temuduga sebelum ini.
Mungkin, jika diberi pilihan,
ramai akan memilih negeri asal atau tempat yang sesuai dengan tujuan dan
keperluan hidup untuk ditempatkan. Tetapi apa kan daya, kita tak punya kuasa
dalam menentukan.
Bagi sesetengah daripada kita,
haqiqat tempat 'posting' ini begitu berat sekali. Berat dengan perasaan serba
salah. Serba salah kerana berbagai pertimbangan. Pertimbangan keluarga, rumah
tangga, melanjutkan pengajian, budaya berbeza, cabaran-cabaran dan sebagainya.
Sama ada ditempatkan ke
semenanjung-pedalaman, ke kota, Sabah, Sarawak atau kemana jua, masing-masing
ada cabaran tersendiri. Ia bergantung kepada sejauh mana kita bersedia
membentuk persepsi positif. Berusaha dengan positif untuk melahirkan hasil yang
menggembirakan. Ya! Gembira walau dimana jua ditempatkan.
Guru dan Niat
Niat menentukan seluruh amal. Ia
menentukan sama ada amal diterima atau ditolak oleh Allah. Para ‘ulama sentiasa
meletakkan pesanan 'niat yang ikhlas' diawal penulisan sesuatu karya. Imam
an-Nawawi dalam al-Azkar menyebut hal ini. Begitu juga dalam susunan 'matan
arba`in' (Hadith 40), beliau meletakkan hadith niat ditempat yang pertama.
Melambangkan betapa pentingnya niat.
Untuk meletakkan persepsi
positif dalam mengurus fikiran tentang penempatan, kita mesti meletakkan niat
yang betul. Ketika ditanya kenapakah kamu memilih guru sebagai profesyen,
sebahagian daripada guru (luar negara) menyatakan seperti berikut:
“How nice to describe
teaching as a way by which we can help people. The feeling of being needed to
help adds great pleasure and happiness to the teachers”-Soher Ahmad.
‘I love teaching. It is an
honorable profession. Helping others know things they don't know gives sense of
achievement and then sense to life. I feel active. I feel I am a good citizen-
Hicham Astaifi
“Personally, I've decided to
be a teacher because I believe only education can help us to construct a better
world and a better future- Chris Lima
‘I like teaching. Being
a teacher, I myself always feel young because I always face the youth.’ – Guru
China
Manakala seorang Pengetua
Cemerlang dari SMKA Syeikh Abdul Malik, bergred Jusa C, Hajjah Khuzaimah Sulaiman
pula memesan ‘menjadi guru bukan semata-mata untuk mendapat gaji. Cara
bekerja seorang guru yang tiada matlamat akan jauh berbeza jika
dibandingkan dengan guru bermatlamat melahirkan modal insan yang berguna kepada
agama,bangsa dan negara'.
Saya membawa contoh golongan
Sufasta`iyyah atau Sofis. Golongan yang juga dikenali sebagai cerdik
pandai dizaman Athens (hidup sezaman dengan ahli falsafah Socrates).
Sofis mengganggap pengetahuan mereka amat berharga dan mereka mesti diberi upah
atau gaji apabila memberi ilmu. Selain itu, golongan ini amat berbangga
dengan ilmunya dan menanggap semua perkara mereka tahu.
Golongan ini bertentangan dengan
Socrates. Socrates pula mengkritik mereka sebagai golongan yang berkepentingan
diri. Manakala, Socrates seorang ahli falsafah agung yang hanya mengajar secara
percuma di bandar dan begitu merendah diri dengan ilmu yang dimiliki. Beliau
menganggap dirinya tak tahu. Katanya “saya hanya tahu satu perkara saja,
iaitu saya tidak tahu apa-apa pun."
Kita boleh memilih sama ada
ingin menjadi golongan Sofis yang mengajar kerana gaji dan kepentingan diri
semata-mata tanpa mahu mendidik dengan sebenar atau ingin megambil
pengajaran dari Socrates yang tampak lebih ikhlas. Terpulang.
Seperti pandangan-pandangan
diatas, apabila ditanya mengapakah memilih guru sebagai profesyen, tentu
jawapannya berbeza-beza mengikut persepsi, kefahaman dan penghayatan kita
terhadap profesyen perguruan itu sendiri. Namun, sewajarnya kita meletakkan
niat yang ikhlas kerana Allah dan berusaha kearah keikhlasan.
Bagaimana pun, Imam al-Ghazali
menyatakan ‘sesiapa sahaja bekerja sebagai guru maka ia memegang peranan
yang besar dan penting. Oleh sebab itu, hendaklah kamu memelihara perangai dan
fungsinya'. Demikian nukilan al-Ghazali akan perihal adab menjadi guru dalam
kitab terkenalnya Ihya` `Ulumuddin dan Bidayatul Hidayah.
Bagi guru yang telah ditarbiyah
dalam sebuah nizom harakah (sistem gerakan), sudah pasti niatnya telah
jelas. Namun, ianya perlu sentiasa dimuhasabah.
Rihlah Guru Baru
Rihlah merupakan perkataan `Arab
yang bermaksud kembara atau mengembara. Dalam Bahasa Inggeris ia dipanggil
'travel'. Dalam lipatan sejarah Islam, rihlah untuk mencari dan mengajarkan
ilmu merupakan tradisi silam para ilmuan Islam. Tradisi untuk menyebarkan Islam
ke seluruh pelusuk dunia ini diwarisi sehingga ke hari ini.
Sebenarnya, penghantaran para
`ulama untuk bertugas sebagai pendidik telah berlaku sejak zaman Rasulullah
SAW. Baginda menghantar Mus'ab Umair ke Yathrib (Madinah) untuk mengajar
al-Quran, begitu juga Muaz diarahkan tinggal ditempat yang ditakluki sepelas
peperangan untuk terus mendidik. Umar al-Khattab, menghantar Abdullah bin
Mas`ud ke Kufah dan Abu Musa Asya`ari ke Basrah. (Hassan Langgulung)
Mereka berihlah meninggalkan
kampung halaman untuk mendidik. Roh rihlah ini telah dihidupkan oleh umat
Islam. Ibnu Battuta antara tokoh Muslim yang terkenal dalam rihlah beliau.
Rihlah mencari dan mengajarkan ilmu. Beliau mencatat dalam kitabnya, catatan
pengembaraan Ibnu Battutah yang akhirnya menjadi sumber sejarah dan ilmu
penting tentang pelayaran.
Menurut seorang pengkaji
akademik berbangsa Inggeris, David Tittensor Al-Quran mengandungi
beberapa ayat yang memesan para pembacanya untuk 'travel the earth and see'
(mengembara dan lihatlah isi dunia) dan secara khusus, al-Quran mengunakan
istilah rihla dalam Surah Quraysh (106:2), dengan merujuk kepada kapasiti
suku kaum Quraisy yang mengembara ke utara dan selatan dan kejayaan yang diraih
mereka.
Berihlah memerlukan pengorbanan.
Pengorbanan meninggalkan kebiasaan dan keseronokan berada ditempat asal.
Meninggalkan keluarga dan isteri, anak dan bonda. Itulah hakikat sebuah
kehidupan yang dilalui oleh para leluhur dizaman emas Islam dahulu.Saya cuba memahami dan
menghayati roh ini.
Ibrah Gerakan Zaman Abbasiyah
dan Hizmet Gulen
Antara zaman keemasan Islam yang
sangat menekankan tentang pendidikan ialah diera Bani Abbasiyah. Ketika era
ini, pendidikan Islam diatur secara tersusun oleh kerajaan Islam terutamanya
oleh Sultan Nizam Al-Mulk, Sultan Salahuddin al-Ayyubi (membangun sekolah
terawal di Mesir).
Lebih kurang 100 tahun sebelum
Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis, kebangkitan Islam
secara tersusun telah diatur oleh Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir
al-Jailani dan ulama-ulama lain menerusi pendidikan. Ketika itu, institusi
pendidikan dan guru-guru `alim dilahirkan untuk mendidik masyarakat.
Guru-guru, para ulama dihantar
ke seluruh tempat untuk mendidik. Tidak kurang juga alumni (guru yang dilatih)
dari pusat pengajian Nizam al-Mulk yang bertebaran keseluruh dunia menubuhkan
institusi pendidikan Islam di era itu.
Hasilnya, 100 tahun kemudian,
lahir ramai graduan-graduan dari pelbagai bidang, para pemikir, pentadbir,
pegawai tentera, amilin dan termasuk Salahuddin al-Ayyubi, tokoh penting
kebangkitan Islam dan pembukaan semula Masjid al-Aqsa. Graduan ini telah
mengisi ruang-ruang kebangkitan.
Nyata, kejayaan Salahuddin
bukanlah terletak pada dirinya semata-mata, namun ia hasil kekuatan sebuah
generasi yang lahir (generasi:pemikir, tentera, pentadbir dll) daripada
pendidikan yang diatur Imam al-Ghazali dan para ulama sejak 100 tahun
sebelumnya. Generasi yang dijanjikan dan layak untuk mendapat kemenangan telah
tersedia untuk melengkapkan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi.
Ibrahnya, kekuatan kebangkitan
Islam diera itu kuat didokong oleh gerakan pendidikan. Mereka yang mengisi
gerakan pendidikan-dakwah ketika itu adalah guru-guru yang bertebaran keseluruh
negara Arab. Mereka benar-benar menghayati roh rihlah untuk mendidik dan
berdakwah.
Semua ini dijelaskan oleh ulama
sejarah dan pendidikan, Dr Majid Irsan al-Kailani dalam kitabnya, Kebangkitan
Generasi Salahuddin dan Kembalinya al-Aqsa Ke Pangkuan Islam'.
Sebagaimana para guru dari
gerakan pendidikan zaman Abbasiyah, teradapat sebuah gerakan Islam semasa yang
menumpukan kepada perihal yang sama iaitu pendidikan. Gerakan Hizmet Gulen.
Sebuah gerakan yang diinspirasikan oleh tokoh agama dan intelektual, Fethullah
Gulen (sebuah gerakan Islam asal Turki).
Gerakan ini menggerakkan ahlinya
untuk mendirikan sekolah di seluruh dunia. Guru-guru mereka berhijrah dan
sanggup berkorban dalam meneruskan tradisi rihlah ini. Mereka juga
menghayati roh Haji yang turut membawa falsafah mengembara di dunia sementara.
"Hari ini ramai para guru
daripada gerakan Gülen mewarisi tradisi rihlah yang ditinggalkan oleh nenek
moyang mereka, bergelut keluar ke negara lain atas nama Allah dan Nabi SAW
untuk bertindak sebagai penyelamat kepada umat manusia. Bagi mereka itulah
alternatif kepada Haji".-Fethullah Gulen.
Guru dari gerakan Gulen bukan
saja sanggup mengajar dalam negara mereka (Turki) bahkan lebih daripada itu
mereka sanggup ke negara lain, termasuk Pakistan,Kazakhstan, Senegal,
Kyrgyzstan, Indonesia, Bosnia dan lain-lain demi mendidik dan membangun
pendidikan. Malah ada yang berihlah ke Indonesia dan Malaysia mendidik di
universiti-universiti.
Realitinya, memang begitu sukar
berada di tempat orang, namun itu tak menjadi halangan demi sebuah pendidikan.
Inilah semangat rihlah yang ditunjukkan oleh pendidik dari gerakan ini lewat
komentar-komentar yang diberikan dibawah;
"I mean, of course it
was difficult. There was a different geography, a different education
[system]…Especially, for example, we had to explain to them using a translator.
Over there, there were also difficulties given one does not know the language…
there was the adjustment to the environment, to the culture (Çetin, Turkish
Literature Teacher, Tartarstan).
"Many teachers there
couldn’t get any salary for months. We worked there for three hundred dollars
[a month] at the time, and we couldn’t get the salaries in time after ten
months or so (Anil, English Teacher, Kazakhstan & Kyrgyzstan).
Disebalik segala kesukaran dan
pengorbanan , para guru gerakan Gulen secara umumnya begitu positif tentang
keputusan mereka meninggalkan Turki yang secara relatifnya lebih selesa.
Sebagai mana komen mereka secara berulang bahawa disebalik kesukaran selama 13
tahun mengembara, namun terselit pengalaman yang sangat manis dan berharga.
"Pengorbanan adalah sifat
penting kepada seorang manusia yang mendidik orang lain. Mereka yang tidak mahu
mengambil risiko pengorbanan daripada awal, bukanlah seseorang yang
mempunyai matlamat. Manusia yang tiada matlamat, tiada mungkin berjaya .
Ya! mereka yang bersedia dan sanggup untuk meninggalkan apa yang diperlukan -
harta, hidup, keluarga, pangkat, kemasyhuran dan sebagainya, perkara yang
diinginkan ramai manusia dan meletakkannya sebagai tujuan hidup. Mereka inilah
(yang sanggup berkorban) yang mempunyai malamat dan pastinya mencapai ke puncak
kejayaan."- Fethullah Gulen.
Tidak hairan, ramai penganalisis
politik Turki mengatakan, disebalik kejayaan parti AKP pimpinan Recep Toyyib
Erdogan dan Abdullah Gul. Dibelakangnya ada gerakan Hizmet Gulen yang
mendokong, terutamanya bertindak secara tersusun dalam pendidikan untuk
menyedarkan rakyat Turki yang tenggelam dalam sekularisme. Kini, Turki
beransur-ansur menuju kebangkitan.
Kalam Akhir
Walau pun kemana jua
ditempatkan, bukanlah menjadi halangan besar bagi guru haraki jika roh rihlah
ini dihayati. Untuk menghayati roh ini, tentunya memerlukan penghayatan Islam
dan roh perjuangan yang tinggi bagi sang pendidik haraki.
Penghayatan Islam dan roh
perjuangan yang tinggi membolehkan kita meyaqini posisi kita sebagai pendidik
yang mempunyai peranan menyampaikan ajaran agama. Bahkan, jika lebih besar
lagi, melibatkan diri dalam membangun institusi pendidikan beteraskan Islam
walau dimana jua berada. Itulah sumber kekuatan rihlah yang sebenar.
Pemikiran inilah yang ingin
diterapkan dalam aqal fikri yang ligat berfikir. Berfikir dan risau untuk
ditempatkan ke seberang laut atau kemana jua tempat yang berat untuk
disanggupi. Akhirnya, walau kemana jua aku ditempatkan, aku akan terus berihlah
seperti Ibnu Battuta dan semoga terus jua istiqamah.
Wan Ahmad Fathi Wan Hassan
Educationist
Bachelor of Education (Accountancy),
Sultan Idris University of Education
Sultan Idris University of Education
______________________________________________________
Nota Kaki:
Imam An-Nawawi. Al-Azkar.
Prof Dr Hassan Langgulung
(1986). Pengenalan Tamadun Islam Dalam Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khuzaimah Sulaiman (2009) Jejak
Pengetua Super: Dari DG41 ke JUSA C.Digital Apprentice Sdn.Bhd.
David Tittesor , An Alternative
Pilgrimage: Teachers Doing Hizmet Abroad.
http://en.fgulen.com/conference-papers/323-gulen-conference-in-indonesia/3722-an-alternative-pilgrimage-teachers-doing-hizmet-abroad
Fethullah Gulen: On
Education Essay
Dr. Majid Irsan al-Kailani, Hakadha
Zahara Jailu Salahu al-Din wa Hakadha `Adat al-Quds (terj.). International
Institute of Islamic Thought Malaysia (IIIT).