Thursday, 10 May 2012

Rihlah Guru Baharu

Semua graduan pendidikan yang lulus temuduga, kini sedang menanti panggilan (ada yang telah terima) untuk ditempatkan ke sekolah. Debarannya mungkin lebih kuat berbanding menunggu keputusan kelayakan ke universiti. Bahkan, mungkin lebih besar dari debaran mendapat keputusan temuduga sebelum ini.

Mungkin, jika diberi pilihan, ramai akan memilih negeri asal atau tempat yang sesuai dengan tujuan dan keperluan hidup untuk ditempatkan. Tetapi apa kan daya, kita tak punya kuasa dalam menentukan.

Bagi sesetengah daripada kita, haqiqat tempat 'posting' ini begitu berat sekali. Berat dengan perasaan serba salah. Serba salah kerana berbagai pertimbangan. Pertimbangan keluarga, rumah tangga, melanjutkan pengajian, budaya berbeza, cabaran-cabaran dan sebagainya.

Sama ada ditempatkan ke semenanjung-pedalaman, ke kota, Sabah, Sarawak atau kemana jua, masing-masing ada cabaran tersendiri. Ia bergantung kepada sejauh mana kita bersedia membentuk persepsi positif. Berusaha dengan positif untuk melahirkan hasil yang menggembirakan. Ya! Gembira walau dimana jua ditempatkan.

Guru dan Niat

Niat menentukan seluruh amal. Ia menentukan sama ada amal diterima atau ditolak oleh Allah. Para ‘ulama sentiasa meletakkan pesanan 'niat yang ikhlas' diawal penulisan sesuatu karya. Imam an-Nawawi dalam al-Azkar menyebut hal ini. Begitu juga dalam susunan 'matan arba`in' (Hadith 40), beliau meletakkan hadith niat ditempat yang pertama. Melambangkan betapa pentingnya niat.

Untuk meletakkan persepsi positif dalam mengurus fikiran tentang penempatan, kita mesti meletakkan niat yang betul. Ketika ditanya kenapakah kamu memilih guru sebagai profesyen, sebahagian daripada guru (luar negara) menyatakan seperti berikut: 

“How nice to describe teaching as a way by which we can help people. The feeling of being needed to help adds great pleasure and happiness to the teachers”-Soher Ahmad.  

‘I love teaching. It is an honorable profession. Helping others know things they don't know gives sense of achievement and then sense to life. I feel active. I feel I am a good citizen- Hicham Astaifi 

“Personally, I've decided to be a teacher because I believe only education can help us to construct a better world and a better future- Chris Lima 

 ‘I like teaching. Being a teacher, I myself always feel young because I always face the youth.’ – Guru China

Manakala seorang Pengetua Cemerlang dari SMKA Syeikh Abdul Malik, bergred Jusa C, Hajjah Khuzaimah Sulaiman pula memesan ‘menjadi guru bukan semata-mata untuk mendapat gaji. Cara bekerja  seorang guru yang tiada matlamat akan jauh berbeza jika dibandingkan dengan guru bermatlamat melahirkan modal insan yang berguna kepada agama,bangsa dan negara'.

Saya membawa contoh golongan Sufasta`iyyah atau Sofis. Golongan yang juga dikenali sebagai  cerdik pandai  dizaman Athens (hidup sezaman dengan ahli falsafah Socrates). Sofis mengganggap pengetahuan mereka amat berharga dan mereka mesti diberi upah atau gaji apabila memberi ilmu.  Selain itu, golongan ini amat berbangga dengan ilmunya dan menanggap semua perkara mereka tahu.

Golongan ini bertentangan dengan Socrates. Socrates pula mengkritik mereka sebagai golongan yang berkepentingan diri. Manakala, Socrates seorang ahli falsafah agung yang hanya mengajar secara percuma di bandar dan begitu merendah diri dengan ilmu yang dimiliki. Beliau menganggap dirinya tak tahu. Katanya “saya hanya tahu satu perkara  saja, iaitu saya tidak tahu apa-apa pun."

Kita boleh memilih sama ada ingin menjadi golongan Sofis yang mengajar kerana gaji dan kepentingan diri semata-mata  tanpa mahu mendidik dengan sebenar atau ingin megambil pengajaran dari Socrates yang tampak lebih ikhlas. Terpulang.

Seperti pandangan-pandangan diatas, apabila ditanya mengapakah memilih guru sebagai profesyen, tentu jawapannya berbeza-beza mengikut persepsi, kefahaman dan penghayatan kita terhadap profesyen perguruan itu sendiri. Namun, sewajarnya kita meletakkan niat yang ikhlas kerana Allah dan berusaha kearah keikhlasan.

Bagaimana pun, Imam al-Ghazali menyatakan ‘sesiapa sahaja bekerja sebagai guru maka ia  memegang peranan yang besar dan penting. Oleh sebab itu, hendaklah kamu memelihara perangai dan fungsinya'. Demikian nukilan al-Ghazali akan perihal adab menjadi guru dalam kitab terkenalnya Ihya` `Ulumuddin dan Bidayatul Hidayah.

Bagi guru yang telah ditarbiyah dalam sebuah nizom harakah (sistem gerakan), sudah pasti niatnya telah jelas. Namun, ianya perlu sentiasa dimuhasabah.

Rihlah Guru Baru 

Rihlah merupakan perkataan `Arab yang bermaksud kembara atau mengembara. Dalam Bahasa Inggeris ia dipanggil 'travel'. Dalam lipatan sejarah Islam, rihlah untuk mencari dan mengajarkan ilmu merupakan tradisi silam para ilmuan Islam. Tradisi untuk menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia ini diwarisi sehingga ke hari ini.

Sebenarnya, penghantaran para `ulama untuk bertugas sebagai pendidik telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW. Baginda menghantar Mus'ab Umair ke Yathrib (Madinah) untuk mengajar al-Quran, begitu juga Muaz diarahkan tinggal ditempat yang ditakluki sepelas peperangan untuk terus mendidik. Umar al-Khattab, menghantar Abdullah bin Mas`ud ke Kufah dan Abu Musa Asya`ari ke Basrah. (Hassan Langgulung)

Mereka berihlah meninggalkan kampung halaman untuk mendidik. Roh rihlah ini telah dihidupkan oleh umat Islam. Ibnu Battuta antara tokoh Muslim yang terkenal dalam rihlah beliau. Rihlah mencari dan mengajarkan ilmu. Beliau mencatat dalam kitabnya, catatan pengembaraan Ibnu Battutah yang akhirnya menjadi sumber sejarah dan ilmu penting tentang pelayaran.

Menurut seorang pengkaji akademik berbangsa Inggeris, David Tittensor Al-Quran mengandungi beberapa ayat yang memesan para pembacanya untuk 'travel the earth and see' (mengembara dan lihatlah isi dunia) dan secara khusus, al-Quran mengunakan istilah rihla dalam  Surah Quraysh (106:2), dengan merujuk kepada kapasiti suku kaum Quraisy yang mengembara ke utara dan selatan dan kejayaan yang diraih mereka.

Berihlah memerlukan pengorbanan. Pengorbanan meninggalkan kebiasaan dan keseronokan berada ditempat asal. Meninggalkan  keluarga dan isteri, anak dan bonda. Itulah hakikat sebuah kehidupan yang dilalui oleh para leluhur dizaman emas Islam dahulu.Saya cuba memahami dan menghayati roh ini.

Ibrah Gerakan Zaman Abbasiyah dan Hizmet Gulen

Antara zaman keemasan Islam yang sangat menekankan tentang pendidikan ialah diera Bani Abbasiyah. Ketika era ini, pendidikan Islam diatur secara tersusun oleh kerajaan Islam terutamanya oleh Sultan Nizam Al-Mulk, Sultan Salahuddin al-Ayyubi (membangun sekolah terawal di Mesir). 

Lebih kurang 100 tahun sebelum Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis, kebangkitan Islam secara tersusun telah diatur oleh Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan ulama-ulama lain menerusi pendidikan. Ketika itu, institusi pendidikan dan guru-guru `alim dilahirkan untuk mendidik masyarakat. 

Guru-guru, para ulama dihantar ke seluruh tempat untuk mendidik. Tidak kurang juga alumni (guru yang dilatih) dari pusat pengajian Nizam al-Mulk yang bertebaran keseluruh dunia menubuhkan institusi pendidikan Islam di era itu.

Hasilnya, 100 tahun kemudian, lahir ramai graduan-graduan dari pelbagai bidang, para pemikir, pentadbir, pegawai tentera, amilin dan termasuk Salahuddin al-Ayyubi, tokoh penting kebangkitan Islam dan pembukaan semula Masjid al-Aqsa. Graduan ini telah mengisi ruang-ruang kebangkitan.

Nyata, kejayaan Salahuddin bukanlah terletak pada dirinya semata-mata, namun ia hasil kekuatan sebuah generasi yang lahir (generasi:pemikir, tentera, pentadbir dll) daripada pendidikan yang diatur Imam al-Ghazali dan para ulama sejak 100 tahun sebelumnya. Generasi yang dijanjikan dan layak untuk mendapat kemenangan telah tersedia untuk melengkapkan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi.

Ibrahnya, kekuatan kebangkitan Islam diera itu kuat didokong oleh gerakan pendidikan. Mereka yang mengisi gerakan pendidikan-dakwah ketika itu adalah guru-guru yang bertebaran keseluruh negara Arab. Mereka benar-benar menghayati roh rihlah untuk mendidik dan berdakwah. 

Semua ini dijelaskan oleh ulama sejarah dan pendidikan, Dr Majid Irsan al-Kailani dalam kitabnya, Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya al-Aqsa Ke Pangkuan Islam'.

Sebagaimana para guru dari gerakan pendidikan zaman Abbasiyah, teradapat sebuah gerakan Islam semasa yang menumpukan kepada perihal yang sama iaitu pendidikan. Gerakan Hizmet Gulen. Sebuah gerakan yang diinspirasikan oleh tokoh agama dan intelektual, Fethullah Gulen (sebuah gerakan Islam asal Turki).

Gerakan ini menggerakkan ahlinya untuk mendirikan sekolah di seluruh dunia. Guru-guru mereka berhijrah dan sanggup berkorban dalam meneruskan tradisi rihlah ini.  Mereka juga menghayati roh Haji yang turut membawa falsafah mengembara di dunia sementara.

"Hari ini ramai para guru daripada gerakan Gülen mewarisi tradisi rihlah yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka, bergelut keluar ke negara lain atas nama Allah dan Nabi SAW untuk bertindak sebagai penyelamat kepada umat manusia. Bagi mereka itulah alternatif kepada Haji".-Fethullah Gulen.

Guru dari gerakan Gulen bukan saja sanggup mengajar dalam negara mereka (Turki) bahkan lebih daripada itu mereka sanggup ke negara lain, termasuk Pakistan,Kazakhstan, Senegal, Kyrgyzstan, Indonesia, Bosnia dan lain-lain demi mendidik dan membangun pendidikan. Malah ada yang berihlah ke Indonesia dan Malaysia mendidik di universiti-universiti. 

Realitinya, memang begitu sukar berada di tempat orang, namun itu tak menjadi halangan demi sebuah pendidikan. Inilah semangat rihlah yang ditunjukkan oleh pendidik dari gerakan ini lewat komentar-komentar yang diberikan dibawah;

"I mean, of course it was difficult. There was a different geography, a different education [system]…Especially, for example, we had to explain to them using a translator. Over there, there were also difficulties given one does not know the language… there was the adjustment to the environment, to the culture (Çetin, Turkish Literature Teacher, Tartarstan).

"Many teachers there couldn’t get any salary for months. We worked there for three hundred dollars [a month] at the time, and we couldn’t get the salaries in time after ten months or so (Anil, English Teacher, Kazakhstan & Kyrgyzstan).

Disebalik segala kesukaran dan pengorbanan , para guru gerakan Gulen secara umumnya begitu positif tentang keputusan mereka meninggalkan Turki yang secara relatifnya lebih selesa. Sebagai mana komen mereka secara berulang bahawa disebalik kesukaran selama 13 tahun mengembara, namun terselit pengalaman yang sangat manis dan berharga.

"Pengorbanan adalah sifat penting kepada seorang manusia yang mendidik orang lain. Mereka yang tidak mahu mengambil risiko pengorbanan daripada awal, bukanlah seseorang yang  mempunyai matlamat. Manusia yang tiada matlamat, tiada mungkin berjaya .  Ya! mereka yang bersedia dan sanggup untuk meninggalkan apa yang diperlukan - harta, hidup, keluarga, pangkat, kemasyhuran dan sebagainya, perkara yang diinginkan ramai manusia dan meletakkannya sebagai tujuan hidup. Mereka inilah (yang sanggup berkorban) yang mempunyai malamat dan pastinya mencapai ke puncak kejayaan."- Fethullah Gulen.

Tidak hairan, ramai penganalisis politik Turki mengatakan, disebalik kejayaan parti AKP pimpinan Recep Toyyib Erdogan dan Abdullah Gul. Dibelakangnya ada gerakan Hizmet Gulen yang mendokong, terutamanya bertindak secara tersusun dalam pendidikan untuk menyedarkan rakyat Turki yang tenggelam dalam sekularisme. Kini, Turki beransur-ansur menuju kebangkitan.

Kalam Akhir 

Walau pun kemana jua ditempatkan, bukanlah menjadi halangan besar bagi guru haraki jika roh rihlah ini dihayati. Untuk menghayati roh ini, tentunya memerlukan penghayatan Islam dan roh perjuangan yang tinggi bagi sang pendidik haraki.

Penghayatan Islam dan roh perjuangan yang tinggi membolehkan kita meyaqini posisi kita sebagai pendidik yang mempunyai peranan menyampaikan ajaran agama. Bahkan, jika lebih besar lagi, melibatkan diri dalam membangun institusi pendidikan beteraskan Islam walau dimana jua berada. Itulah sumber kekuatan rihlah yang sebenar.

Pemikiran inilah yang ingin diterapkan dalam aqal fikri yang ligat berfikir. Berfikir dan risau untuk ditempatkan ke seberang laut atau kemana jua tempat yang berat untuk disanggupi. Akhirnya, walau kemana jua aku ditempatkan, aku akan terus berihlah seperti Ibnu Battuta dan semoga terus jua istiqamah.

Wan Ahmad Fathi Wan Hassan
Educationist
Bachelor of Education (Accountancy),
Sultan Idris University of Education
______________________________________________________
Nota Kaki:

Imam An-Nawawi. Al-Azkar.

Prof Dr Hassan Langgulung (1986). Pengenalan Tamadun Islam Dalam Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khuzaimah Sulaiman (2009) Jejak Pengetua Super: Dari DG41 ke JUSA C.Digital Apprentice Sdn.Bhd.

David Tittesor , An Alternative Pilgrimage: Teachers Doing Hizmet Abroad. http://en.fgulen.com/conference-papers/323-gulen-conference-in-indonesia/3722-an-alternative-pilgrimage-teachers-doing-hizmet-abroad

Fethullah Gulen: On Education  Essay

Dr. Majid Irsan al-Kailani, Hakadha Zahara Jailu Salahu al-Din wa Hakadha `Adat al-Quds (terj.). International Institute of Islamic Thought Malaysia (IIIT).



No comments:

Post a Comment